Lega Ustazah Nur Farhana Ibrahim Ditemui Semula, Ini Luahan Sebak Ibu Mentua

NUR Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak 14 Januari lalu, dijumpai selamat di luar Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya menjumpai mangsa pada 4 petang, namun enggan mengulas lanjut bagi memberi ruang kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak perlu faham mangsa menghidap kemurungan dan tidak mahu memberi tekanan kepadanya.

“Apa yang penting sekarang dia selamat dan mahu dia bertenang bersama keluarganya.

“Maklumat lanjut akan saya kongsikan dan terima kasih kerana semua pihak faham,” katanya dalam satu kenyataan media di Balik Pulau, hari ini.

Difahamkan, mangsa ditemui di Kuala Kangsar dan ahli keluarga ustazah itu dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Dalam kejadian 14 Januari lalu, suami mangsa menyedari kehilangan Nur Farhana yang juga seorang ustazah di sebuah sekolah di Balik Pulau apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dibuatnya pada 4.30 petang.

Pada 6.30 petang hari kejadian, suami mangsa pulang ke rumah dan dapati telefon bimbit isterinya berada di atas almari bilik tidur mereka.

Suami mangsa dikenali sebagai Naim kemudiannya menghubungi rakan isterinya dan bertanyakan di mana Nur Farhana berada, selain dia dimaklumkan bahawa kereta isterinya berada di luar kawasan pagar sekolah.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau pula mengesahkan mangsa hadir ke sekolah itu pada 14 Januari lalu dan mengajar murid seperti biasa, namun tidak hadir bertugas keesokan harinya.

Nur Farhana dilaporkan pernah menerima rawatan Psikiatri (kemurungan) pada 2014 dan berulang alik dari Langgar, Kedah ke Balik Pulau, Pulau Pinang untuk mengajar

Harap Nur Farhana ditukarkan sekolah

IBU mentua Ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, yang ditemui semula, hari ini selepas hilang sejak Isnin lalu berharap menantunya boleh ditukarkan untuk mengajar di Alor Setar, Kedah.

Ini bagi membolehkan ibu kepada seorang anak berkenaan tidak perlu lagi berulang-alik hampir sejauh 200 kilometer dari Langgar, Alor Setar ke Balik Pulau, Pulau Pinang pada hari persekolahan.

Raziyah Dali, 64, yang menzahirkan kesyukuran selepas menantunya ditemui selamat berharap Kementerian Pendidikan dapat mempertimbangkan permohonan menantunya sebelum ini untuk bertukar sekolah di Alor Setar.

“Apabila mendapat tahu dia (Nur Farhana) sudah ditemui, saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana menantu saya selamat.

“Saya berharap selepas ini dia dapatlah ditukarkan mengajar ke Alor Setar kerana saya sangat kasihan bebanannya yang terpaksa berulang dari Alor Setar ke Balik Pulau untuk mengajar.

“Dia pernah memohon untuk bertukar sekolah, namun permohonannya tidak dipertimbangkan sehingga menyebabkan dia terpaksa terus mengajar setiap hari di sekolah itu,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di perkarangan rumahnya di Langgar, Alor Setar, hari ini.

Katanya, menantunya mula berulang alik dari Alor Setar ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau sejak Oktober dua tahun lalu selepas Raziyah dan suaminya, Mahayadin Hanafi, 69, pulang dari mengerjakan umrah di Makkah.

“Dia pernah tinggal menyewa di sebuah rumah pangsa di Pulau Pinang, namun hanya bertahan selama setahun kerana tidak tahan berjauhan dengan keluarga.

“Ditambah dengan kemurungan yang pernah melanda dirinya menyebabkan dia berpindah tinggal di sini (Langgar) bersama saya sekeluarga semula dan setiap hari akan berulang alik,” katanya.

Katanya, dengan penemuan menantunya itu sekurang-kurangnya terubat kebimbangannya selama beberapa hari sebelum ini, dan cucunya, Siti Zulaika Mohamad Naim, 3, juga sangat merindui kepulangan ibunya.

“Anaknya, Siti Zulaika…walaupun masih tidak faham dengan apa yang berlaku, tetapi masa mula-mula ibunya itu tidak pulang dia ada bertanya juga pada kami.

“Selepas itu, dia seperti biasa dan tidak bertanya lagi dan hanya menunggu kepulangan ibunya itu dengan selamat

“Saya juga berharap agar Nur Farhana dapatlah diberikan cuti panjang buat seketika untuk dirinya kembali tenang sebelum mengajar semula,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*