Lelaki Ini Terkilan Kerana Adib Tidak Sempat Buat Perkara Ini Kepada Anak Dia

“MUHAMMAD Adib berhasrat mahu mendukung anak kedua saya V Aarshern, setahun, namun dia membatalkan niatnya kerana Aarshern tidak berhenti menangis.

“Akibat itu, saya rasa terkilan kerana dia tidak berkesempatan berbuat demikian. Kalau tahu dia akan pergi selamanya, pasti saya berikan peluang kepada Muhammad Adib untuk dukung Aarshern, walaupun sekejap,” kata kata ahli perniagaan, M Prema, 33.

Prema berkata demikian ketika berkongsi pengalaman bertemu Muhammad Adib pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak rakannya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, 10 November lalu.

Menurutnya, selain berasa terkilan, dia juga terkesan hingga sukar untuk melelapkan mata selepas mengetahui insiden menimpa anggota bomba berkenaan.

Katanya, anak sulungnya V Yeashalan, 13, yang berkesempatan berjumpa Muhammad Adib ketika menghadiri majlis sama menangis selepas dimaklumkan anggota bomba itu sudah meninggal dunia.

Sebagai penghormatan terakhir kepada Muhammad Adib, Prema dan ahli keluarga kemudian melawat BBP Subang Jaya.

“Meskipun perjumpaan itu singkat, kami macam sangat rapat dengan Muhammad Adib. Pemuda ini seorang pemalu tapi amat mengambil berat mengenai keselamatan orang lain di sekelilingnya.

“Ketika Yeashalan cuba mengangkat hos, Muhammad Adib beberapa kali bertanya dia mampu berbuat demikian atau tidak.

“Begitu juga ketika kami diberi peluang menaiki jentera bomba Muhammad Adib kelihatan berwaspada sepanjang masa,” katanya.

Sebagai penganut agama Hindu, Prema meluahkan rasa malu dan kesal dengan insiden yang berlaku hingga mengorbankan nyawa anggota bomba itu.

Baginya Muhammad Adib, tidak bersalah dan dia sudah pasti pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan tugas memadam kebakaran kereta dilaporkan.

“Adakah ini wajar? Adakah ini betul? Tiada agama atau bangsa mengajar kita untuk mengambil nyawa sebegini dan saya benar-benar malu kerana orang seagama saya yang menjadi punca kematian Muhammad Adib.

“Kami berasa rindu pada Muhammad Adib. Berikutan, itu saya dan keluarga bercadang mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran Aarshen di balai bomba sama pada 19 Julai tahun depan,” katanya. Katanya, selain Muhammad Adib, semua pegawai dan anggota bertugas di BBP Subang Jaya juga amat baik, mesra serta pandai melayan kanak-kanak.

“Sekiranya kami meneruskan perancangan itu, pasti anak akan tercari-cari kelibat Muhammad Adib di situ,” katanya.

Terdahulu, Prema berkongsi mengenai pengalamannya itu melalui status Facebooknya yang turut menyatakan rasa kesal dengan kehilangan Muhammad Adib.

Sumber Artikel : Hmetro Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*