Sultan Pahang, Sultan Abdullah Bertitah Pada Hari Pertabalan Dalam Keadaan Sebak. Tengku Puan Pahang Dan Hadirin Disitu Juga Merasa Sedih

SUASANA hening dan sayu di Balairung Seri dan Dewan Santapan Istana Abu Bakar, Pekan selepas Sultan Pahang VI, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitiskan air mata serta sebak ketika membaca titah sulungnya.

Video Disediakan Di Akhir Artikel

Sultan Abdullah yang memakai baju berwarna kuning bersama isteri Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kelihatan sebak beberapa minit dan menitiskan air mata ketika duduk bersemayam di singgahsana.

Baginda dilihat sebak ketika membacakan titahnya yang memohon rakyat mendoakan kesejahteraan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah serta bondanya, Al-Marhumah Tengku Ampuan Afzan Rahimahallah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mendidik baginda dengan penuh kasih sayang.

Sebahagian daripada ahli kerabat diraja, tetamu kenamaan, ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang memenuhi Balairung Seri dilihat turut tidak dapat mengawal perasaan sama ditunjukkan baginda.

Malah, suasana sayu itu turut dikongsi di Dewan Santapan yang seolah-oleh memahami isi hati baginda yang sedih membacakan titahnya selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang.

Istiadat pemasyhuran berlangsung hampir sejam setengah itu bermula sebaik keberangkatan baginda dan isteri pada 11 pagi ke Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Turut berangkat ke majlis itu Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, paduka anakanda dan kerabat baginda.

Tengku Abdul Rahman mengetuai laungan Allahu Akhbar sebanyak tiga kali dan laungan Daulat Tuanku mengiringi istiadat pemasyhuran itu.

Terdahulu, Tengku Abdul Rahman turut membacakan Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuat kuasa 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, turut membacakan ucapan dan ikrar taat setia terhadap pemerintahan Sultan Abdullah pada istiadat pemasyhuran itu.

Turut kelihatan hadir wakil kerajaan pusat, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Orang Besar Berempat yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak serta penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Sultan Abdullah dan isteri kemudian berkenan mencemar duli pada majlis santapan di dewan santapan Istana Abu Bakar pada 12.50 tengah hari dan berangkat meninggalkan majlis santapan 40 minit kemudian.

Sebelum berangkat meninggalkan dewan santapan Sultan Abdullah meluangkan masa bersalaman, beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu yang hadir.

Sumber Artikel: HMETRO ONLINE

Sultan Pahang Sebak Mohon Rakyat Doakan Kesejahteraan Ayahanda & Bonda

Sumber Youtube: Buletin TV3

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*