PoIis Selangor Tambah Sekatan Jalan Raya Di Lima Laluan Keluar Utama Menjelang Hari Raya, Ini Kawasan Terlibat

POLIS Selangor akan membuka lima Sekatan Jalan Raya (SJR) di laluan utama lebuh raya sempena perayaan Aidilfitri, selewat-lewatnya esok.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kelima-lima SJR itu akan didirikan di atas lebuh raya yang menjadi jalan untuk menghala keluar dari Selangor.

“Lima lebuh raya itu adalah Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran susur Plaza Tol Tanjung Malim, Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur Plaza Tol Bukit Mahkota, Lebuhraya Elite arah Selatan berhampiran susur Plaza Tol Bandar Serenia, Lebuhraya LEKAS arah Selatan berhampiran Plaza Tol Eco Majestic dan Plaza Tol Gombak.

“Manakala SJR dalam negeri pula, masih kekal sembilan SJR iaitu tiga di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, tiga di bawah IPD Hulu Selangor, dua di bawah IPD Sepang dan satu di bawah IPD Sabak Bernam.

“Keseluruhan SJR didirikan untuk menghalang perjalanan tidak mempunyai asas untuk keluar dari Selangor sebanyak 14 lokasi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, jumlah keseluruhan pemeriksaan SJR bermula 13 Mei sehingga semalam adalah 118,852 kenderaan termasuk 2,405 kenderaan diarahkan berpatah balik.

Beliau berkata, bagi semalam sahaja, sebanyak 21,993 kenderaan diperiksa dan 708 daripadanya diarahkan berpatah balik.

“Jumlah keseluruhan permohonan pergerakan sejak 6 Mei sehingga semalam adalah 33,090 dan sebanyak 30,112 diluluskan.

“Bagi tempoh semalam sahaja, 4,343 permohonan pergerakan diterima dan 3,895 diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, ada segelintir orang ramai mengambil kesempatan untuk peluang ke kampung tanpa kebenaran dan mendapatkan permit pergerakan, jadi polis akan terus mempertingkatkan pemantauan dan pengawalan di SJR di lokasi strategik bagi mengesan mereka yang cuba menyelinap balik ke kampung untuk berhari raya.

HMETRO ONLINE

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*