Saya Tak Pandai Menyanyi, Tapi Saya Nak Sebutkan Kata Kata Dalam Lagu Itu – PM Muhyiddin Yassin

Bait-bait lagu raya malar segar dendangan Allahyarham Ahmad Jais berjudul Selamat Hari Raya menjadi pilihan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menitipkan ucapan hari raya buat semua rakyat Malaysia yang akan disambut esok.

Dalam Perutusan Khas Aidilfitri Perdana Menteri malam ini, beliau berkata, walaupun tidak pandai mendendangkan lagu itu, namun setiap bait lirik itu sentiasa diingatinya setiap kali menjelang lebaran.

“Selamat hari raya, Aidilfiri mulia, ampun maaf dipinta mensuci hening dosa. Setahun menghilang, sekarang menjelang, hari yang bahagia, selamat hari raya.

“Saya isteri dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir batin kepada saudara saudari sekelian dan semua umat Islam di mana jua anda berada,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad semalam mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.

Buat pertama kali sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan kebiasaan baharu apabila negara sedang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu, dalam perutusan sama Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa tempoh fasa PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi hikmah kepada rakyat Malaysia termasuk keluarganya.

Beliau berkata, sebulan menjalankan ibadah solat tarawih di rumah, beliau menjadi imam dan anaknya menjadi bilal manakala isteri, ahli keluarga lain dan pembantu rumahnya menjadi makmum.

“Semua ini ada hikmahnya, setelah sebulan bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, ramai bapa dah pandai jadi imam, anak lelaki jadi bilal dan isteri serta anak-anak lain jadi makmum.

“Saya pun jadi imam di rumah, dan anak bongsu saya Farhan jadi bilal. Isteri dan ahli keluarga lain dan pembantu rumah jadi makmum,” katanya.

Katanya lagi, amalan bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga juga telah menjadi kebiasaan pada tempoh ini dan beliau percaya ia akan menjadi pengerat hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Muhyiddin berkata bagi mereka yang tidak berpeluang ke masjid dan surau untuk solat hari raya berjemaah, amalan solat berjemaah bersama keluarga boleh diteruskan, selain akan menghidupkan kegembiraan dan rasa syukur sebaik selesai berpuasa dengan alunan takbir hari raya.

“Rujuk panduan untuk dirikan solat jemaah Aidilfitri dan amalan-amalan sunat yang lain yang disediakan pihak berkuasa agama negeri dan alim ulama kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun Aidilfitri kali ini disambut berbeza tanpa rumah terbuka, kenduri atau kehadiran sahabat handai namun ia bukan alasan untuk ia tidak disambut meriah dan gembira.

“Wujudkanlah suasana kemeriahan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri bersama ahli keluarga kita

“Begitu juga bagi mereka yang berada di rumah anak yatim dan rumah kebajikan, saya yakin ramai petugas dan sukarelawan berhati mulia yang akan berusaha mewujudkan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri di kalangan mereka,” katanya.

ONLINE MALAYA

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*