Terkini. Selepas Teruk Ditularkan Di Media Sosial, Mereka Yang Pukul Driver Bas Telah Serah Diri Dan Bukan 5 Orang Sebenarnya

PEMANDU bas ekspres dipukul sekumpulan lima lelaki di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan dipercayai berpunca kerana salah faham, semalam.

Video kejadian yang berlaku 1.30 pagi itu tular sejak malam tadi.

Video berdurasi 1 minit 49 saat itu menunjukkan mangsa yang memakai baju serta berseluar hitam ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badannya oleh kumpulan lelaki terbabit.

Kejadian dikatakan berlaku di kawasan tempat meletak kenderaan dan turut disaksikan orang ramai yang cuba meleraikan pergaduhan itu.

Difahamkan kejadian berpunca akibat salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang didakwa mengasari pelayan kedai di R&R itu sebelum pelayan berkenaan memaklumkan kepada abangnya.

Bagaimanapun, ada juga dakwaan mengatakan pemandu bas berkenaan tidak mengasari pelayan kedai di R&R Gambang.

Sementara itu, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan ANIH Berhad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis semalam, di Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut.

“Kami juga menyiasat video insiden antara kakitangan gerai R&R terbabit dengan seorang pemandu bas ekspres dengan lebih terperinci,” katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, ANIH Berhad kesal dengan kejadian berlaku dan tidak akan berkompromi dengan kakitangan gerai terbabit sekiranya didapati bersalah.

“Sekiranya didapati bersalah, kakitangan gerai berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat,” katanya.

Katanya, segala tindakan yang diambil kakitangan terbabit adalah tingkah laku peribadinya dan tidak menggambarkan atau melambangkan prinsip syarikat.

“ANIH Berhad memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna dan ketenteraman awam adalah keutamaan kami,” katanya.

Ingat 5 Orang Tetapi Bila Serah Diri 6 Orang Sebenarnya

ENAM lelaki dipercayai terbabit memukul pemandu bas ekspres di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan, kelmarin, ditahan bagi membantu siasatan.

Difahamkan semua suspek berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kira-kira 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dibuat ke atas semua suspek lelaki terbabit.

“Enam lelaki berkenaan ditahan selepas mereka hadir ke balai polis malam tadi. Permohonan reman akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdapat dakwaan mengatakan mangsa tidak mengasari pelayan berkenaan yang juga adik kepada seorang lelaki yang memukul mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sumber Artikel : HMETRO ONLINE

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*