Tiba-Tiba Kecoh Sidang Rakyat Apabila MP Johor Bahru Mengeluarkan Kenyataan Ini. Ramai Ahli Parlimen PAS Bangun Bantah Dan Suruh Tarik Balik Dakwaan Itu

SIDANG Dewan Rakyat sesi petang ini kecoh apabila Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir ‘tersilap’ meminta menteri berkaitan supaya mendedahkan nama pemimpin PAS yang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (AMLA).

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut memetik laporan akhbar bahawa kononnya ada pemimpin PAS yang dibekukan akaun kerana memiliki wang RM1 juta selain kenderaan mewah disita termasuk Toyota Vellfire, Porsche dan Range Rover bernilai RM2.3 juta.

“Penyelewengan tidak terhenti kepada pemimpin UMNO, jadi saya nak minta menteri berkenaan untuk mengesahkan mana-mana pemimpin PAS yang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya semasa membentang Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Perasmian Yang di-Pertuan Agong Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Berikutan itu Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) bangun mempersoalkan kebenaran dakwaan itu yang disebut di dalam dewan dan mendesak Akmal Nasrullah mendedahkan nama pemimpin PAS terbabit.

Beberapa wakil rakyat PAS turut bangkit mendesak dan mempertikaikan dakwaan wakil rakyat Johor Bahru sambil berkata beliau hanya berani membuat tuduhan secara semberono tanpa mengemukakan bukti.

Ketua Angkatan Muda PKR itu kemudian menjelaskan beliau membangkitkan perkara itu kerana ingin mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan supaya pemimpin parti politik itu dibersihkan daripada tohmahan rasuah.

Kenyataan tersebut menyebabkan beberapa Anggota Parlimen PAS bangun dan melaungkan ‘tarik balik’ bertujuan meminta Akmal Nasrullah menarik balik kenyataannya kerana telah membuat sangkaan jahat kepada parti itu.

Keadaan itu, berlanjutan selama 10 minit sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Anggota Parlimen Johor Bahru itu menarik balik kenyataannya dan beliau akur.

“Dedahkan nama, mana pemimpin PAS yang disiasat itu, mana ada kena sita,”kata Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat).

Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) kemudian bangun meminta Akmal Nasrullah sebagai wakil rakyat muda tidak mengikut jejak langkah dan kaedah permainan politik ‘orang lama’ dalam partinya.

“Orang muda jangan ikut kaedah orang lama, biar ada pendirian tersendiri yang berbeza,” katanya.

Semua wakil rakyat PAS termasuk Dungun, Pendang dan Pasir Mas kemudian mendesak supaya Ahli Parlimen PH itu menarik balik dakwaannya selepas beliau gagal mendedahkan nama pemimpin yang dikatakan disiasat itu.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Arif Yusof akhirnya memerintahkan Akmal Nasrullah menarik balik dakwaannya itu sebanyak tiga kali sebelum wakil rakyat Johor Bahru itu berbuat demikian.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*