Tular ‘Warkah Dari Cordoba Untuk Nurul Izzah’ Terkini Domino’s Turut Dijangkiti Kekanda, Adinda

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Nampaknya kata ganti diri nama pertama dan kedua prosa klasik Melayu adinda dan kekanda terus menjadi usikan sejak ‘Warkah Dari Cordoba Untuk Nurul Izzah’ menjadi tular pada Hari Krismas lalu.

Produk terbaharu Domino's.Produk terbaharu Domino’s.
Terbaharu rangkaian makanan segera Domino’s Pizza Malaysia turut menggunakannya dalam iklannya bagi memperkenalkan menu terbaharu, Butterscoth Bread & Butter Pudding.

“Warkah Dari Domino’s Untuk Adinda. Kehadapan Adinda yang kukasihi. Kekanda kini ada di Domino’s. Mereka ada Butterscoth Bread & Butter Pudding baharu yang adinda inginkan.

“Kekanda tak boleh makan tanpa memikirkan adinda. Jadi kekanda akan membawa pulang Butterscoth Bread & Butter Pudding ini untuk adinda. Sekian, Yang Benar, Kekanda yang setia,” tulis iklan yang dipaparkan di Facebook rasmi Domino’s.

Menu baharu itu dijangka akan menemui pelanggan pada 29 Disember ini. Iklan tersebut ternyata menarik perhatian ramai warganet.

“Domino’s Pizza Malaysia nak makan tapi nanti takut tak boleh tidur pulak,” kata Izahir Stegan.

“Admin patut surat tu ada cop pos dari Cordoba,” komen Mukriez Ebrahim Mansor.

“Berapa harga kekanda Domino lepas SST, mencanak macam Datuk Bendahara KFC jugak ke?” tanya Afeeq Ab Jalil.

‘Warkah Dari Cordoba Untuk Nurul Izzah’ dikarang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa ketika dalam perjalanan dari Cordoba ke Madrid di Sepanyol dan ditujukan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dalam warkah tersebut di mana Dr. Mujahid menggunakan kata ganti diri sebagai kekanda berharap Nurul Izzah yang dipanggil adinda untuk meneruskan perjalannya di dalam dunia politik yang selama ini memperjuangkan reformasi untuk memperkukuh Malaysia.- (Sumber : UTUSAN ONLINE)

Warkah dari Cordoba: Mujahid diminta jelaskan siapa yang memfitnah

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Warkah dari Cordoba daripada Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof kepada Nurul Izzah Anwar terus mendapat perhatian apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu diminta menjelaskan siapa yang memfitnah dan apa fitnahnya.

Ini ekoran dalam hantaran di Facebook itu, Dr. Mujahid berkata Nurul Izzah terpaksa menanggung kepedihan dan penderitaan akibat fitnah ke atas ayahandanya.

Seorang warganet, Madi Azmadi dalam tweetnya berkata, dia tidak mahu menyentuh tentang adinda kekanda, tetapi mahu Dr. Mujahid menjelaskan perkara yang berkaitan fitnah itu.

“Panjang warkah YB @mujahidrawa. Taknaklah sentuh pasal adinda kekanda. Dalam surat itu berulang kali ditulis tentang ‘fitnah dan aib 90-an’. Sebagai menteri penuh, elok YB jelaskan siapa yang memfitnah dan apa fitnahnya.

“Tahun 90-an saya budak-budak lagi. Tak faham sangat,” demikian tweet Madi Azmadi yang turut di tweet semula oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Dalam hantaran ke Facebooknya yang menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, selain berbahasa kekanda dan adinda, Dr. Mujahid turut berkata, sejak mengenali Nurul Izzah, beliau bersimpati kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terpaksa menanggung penderitaan kerana fitnah.

“Sejak kekanda mengenali adinda, adinda masih remaja dan amatlah kekanda bersedih dan bersimpati betapa remaja seperti adinda terpaksa melalui saat-saat duka menanggung kepedihan fitnah ke atas ayahanda yang dikasihi.

“Bukan mudah penderitaan tersebut, terpaksa menanggung kata keji manusia yang memfitnah sedangkan kita ada kawan, sekolah dan masa depan yang kita harus tempuhi.

“Bukan calang-calang manusia yang mampu berhadapan dengannya apatah lagi sebagai anak sulung, adinda terpaksa membebani jua penderitaan adik-adik yang masih kebingungan,” itu antara catatan Dr. Mujahid. – (Sumber : UTUSAN ONLINE)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*