Tun Mahathir Dikecewakan, DS Anwar Ibrahim Mula Dedah Perkara Sebenar

Dengan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku pantas dalam negara sejak semalam, Kami membawakan laporan langsung (dipetik dari Malaysiakini) mengenainya di sini.

10 pagi: Kira-kira dua jam sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berlangsung, kelihatan salah seorang pemimpin kanan parti itu tiba di bangunan ibu pejabat parti terbabit di Pudu, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, enggan memberi sekarang kenyataan.

“ Saya tak tahu,” katanya apabila ditanya media sama ada beliau hadir untuk menghadiri mesyuarat berkenaan atau sebaliknya.

Menurut setiausaha politik menteri kewangan itu, beliau datang untuk menyelesaikan “hal-hal lain”.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, dilihat tiba di situ kira-kira jam 9pagi.

10.20 pagi: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan tidak akan menghadiri sebarang majlis rasmi kementeriannya hari ini.

Hal itu disahkan seorang pembantunya.

Kata sumber tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad, akan mewakili Saifuddin.

10.25 pagi: Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng meninggalkan Perdana Putra. Kedua-dua mereka tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk bercakap kepada media.

Hanya beberapa minit sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dilihat meninggalkan bangunan menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu.

Kenderaannya diperlahankan sedikit dan beliau melambai ke arah wartawan yang menunggu.

10.45 pagi: Presiden Gerakan, Dominic Lau, mengesahkan kepada Malaysiakini, parti itu akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat di Kuala Lumpur pada jam 4 petang ini.

Katanya, salah satu agenda yang akan dibincangkan ialah kemungkinan penyertaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, serta penyokongnya, ke dalam Gerakan.

“ Itu antara agendanya, tapi yang utama akan dibincangkan ialah situasi politik, kedudukan Gerakan, strategi dan tindak balas.

“ Kami akan bincangkan mengenai peranan Gerakan apabila ada perubahan kerajaan,” katanya.

Lau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Azmin dan pengikutnya ada atau tidak memohon menyertai Gerakan.

Beliau juga tidak mengulas apabila ditanya kemungkinan Azmin akan hadir pada mesyuarat tersebut.

10.49 pagi: Pusat Pembanterasan Rasvah dan Kronisme (C4) akan menyertai sidang media bersama Bersih pada petang ini.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel, berkata sidang media itu akan diadakan sejurus selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bertemu Yang di-Pertuan Agong.

10.50 pagi: Malaysiakini difahamkan oleh sumber, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tiada di pejabat ketika Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng tiba.

Difahamkan ketiga-tiga mereka kemudian bersama-sama menuju ke rumah Mahathir di Seri Kembangan.

11 pagi: Veteran DAP, Lim Kit Siang, tiba di ibu pejabat parti itu di Pudu.

“ Kami ada mesyuarat lepas ni,” katanya semasa ditemui media di pintu masuk bangunan tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu enggan menjawab soalan lain yang dikemukakan wartawan.

Sebelum Lim, kelihatan tiba lebih awal ialah Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Adun Teratai, Lai Wai Chong; dan Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

11:30 pagi: Difahamkan DAP mengarahkan semua wakil rakyat dan senatornya untuk hadir ke mesyuarat parti itu di Kuala Lumpur.

Hal itu selaras dengan ketibaan ramai pemimpin DAP setakat ini. Antaranya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham; Soon Lip Chee (Adun Bagan Jermal) dan A Sivanesan (Sungkai).

11.40 pagi: Difahamkan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu sudah tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan, Selangor hampir sejam lalu.

Astro Awani melaporkan, ketiga-tiga ahli parlimen itu sedang bertemu dengan Mahathir.

12 tengah hari: Adun Pasir Pinji merangkap salah seorang exco Perak, Howard Lee, yang tiba di Ibu Pejabat DAP berkata, semuanya berjalan seperti biasa di negeri terbabit.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok, memberitahu Malaysiakini, beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat berkenaan kerana sedang berada di Sabah.

12.05 tengah hari: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, tiba di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Ditanya apa yang akan dibincangkan oleh kepemimpinan PKR dalam mesyuarat tergempar parti itu sebentar lagi, beliau enggan mengulas.

“I have a good feeling,” katanya.

Beberapa minit kemudian, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, juga tiba.

12.10 tengah hari: Indeks KLCI Bursa Malaysia menurun 35.74 mata kepada 1495.46 ketika pasaran dalam keadaan tidak menentu.

Nilai ringgit Malaysia juga melemah berbanding dolar AS, menjadi RM4.2215 setakat ini.

Mengulas prestasi Bursa Malaysia, bekas PM, Najib Razak berkata, sama ada PH kekal, tumbang atau parlimen dibubarkan, kestabilan mesti dikembalikan secepat mungkin.

12:20 tengah hari: Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, tiba di Ibu Pejabat DAP, sejurus selepas dibebaskan atas tuduhan terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“ Saya sangat gembira, saya mahu ucapkan beribu-ribu terima kasih,” katanya kepada media.

Anak Gunasekaran, Nancy, berkata keluarganya meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

“ Kami terus datang ke sini selepas itu,” katanya.

12.45 tengah hari: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, tiba di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bersama isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Anwar, beliau baru saja tiba dari rumah Dr Mahathir Mohamad dan pertemuan itu berlangsung dengan “sangat baik”.

“ Kami ada bincang beberapa perkara dan saya berpuas hati dengan pendirian beliau, bahawa kita harus mengutamakan prinsip.

“ Agenda reformasi harus diteruskan, itu yang saya boleh sebut setakat ini,” katanya kepada media.

Ditanya kemungkinan berlaku perubahan kerajaan, Anwar tidak menjawab soalan itu secara langsung.

Sebaliknya ahli parlimen Port Dickson itu memberitahu agar kerajaan tidak mudah tunduk kepada kehendak kumpulan tertentu.

“ Kita jangan mudah tunduk kepada gerombolan yang mahu mengkhianati amanah rakyat dalam pilihan raya yg lalu.

“ Saya tak boleh sebut apa (yang lain), memadai kita jelaskan setakat itu, ia adalah mesyuarat yang sangat baik,” katanya.

Anwar juga menjelaskan beliau “terkesan” dengan sikap Mahathir mengenai perubahan dan keengganan tunduk kepada pihak yang mahu “merampas kuasa” tanpa menetapkan agenda perubahan.

12.55 tengah hari: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memanggil semua Adun PKR di negeri itu ke kediaman rasminya pagi tadi, kata satu sumber.

Sebelum itu dikatakan Amirudin memanggil semua Adun.

Ditanya jika kerajaan negeri yang ada akan bertahan, sumber itu – yang memihak kepada kem Azmin Ali – berkata: Tidak ada apa-apa perubahan.

Tidak dapat dipastikan jika Adun PKR yang menyokong Anwar terbabit dalam pertemuan tersebut kerana pertanyaan yang dihantar Malaysiakini tidak berjawab setakat ini.

Sementara itu Amanah Selangor juga difahamkan akan mengadakan mesyuarat dalamannya hari ini.

1.10 petang: Majlis Perundingan Buddha, Kristian Hindu Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) merayu agar Yang Di-Pertuan Agong dapat menggunakan budi bicara baginda untuk menitahkan agar parlimen dibubarkan.

“ MCCBCHST merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Yang-dipertuan Agong untuk menggunakan kuasa budi bicara baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengarahkan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan pilihan raya semula.

“ […] Kita sebagai rakyat Malaysia, marilah kita berdoa untuk perpaduan dan kestabilan Malaysia,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Jelas persatuan itu, mandat rakyat yang memilih pemerintah mereka dalam pilihan raya umum (PRU) lalu haruslah dihormati.

“ Lebih-lebih lagi, banyak pemimpin dalam Pakatan Nasional yang disebut-sebut itu berdepan pendakwaan atau penyiasatan kes rasuah, jadi tujuan perikatan itu mungkin hanya untuk melindungi kepentingan peribadi dan untuk mengkhianati mandat rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

1.30 petang: Seorang sumber memberitahu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menghadap Sultan Selangor hari ini.

Sumber yang condong kepada kem Anwar Ibrahim itu berkata, Amirudin memaklumkan hal tersebut semasa bertemu dengan Adun PKR di rumahnya pagi tadi.

Katanya, Amirudin juga memberitahu Selangor “akan mempertahankan mandat yang diberikan rakyat” dalam PRU lalu.

“ Menteri Besar Selangor memberi taklimat kepada tuanku.

“ Esok beliau akan berjumpa tuanku sekali lagi bersama semua ketua parti dalam PH,” katanya.

1.36 petang: Dua pemimpin kanan PKR dikatakan akan dipecat dari parti itu.

Menurut beberapa sumber, keputusan tersebut sudah dipersetujui dan kini hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi.

1.50 petang: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memuat naik satu hantaran yang menimbulkan persoalan di Twitternya.

Ciapan itu dibuat di tengah-tengah perkembangan politik tanah air yang mencemaskan banyak pihak.

“ Rakyat wajib diutamakan, bukan politik perebutan kuasa. Rakyat yang berkuasa, bukan si pencatur kuasa,” ciapnya.

Ini juga hadir ketika tersebar spekulasi bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah menghantar surat peletakan jawatannya ke Istana Negara.

Malaysiakini masih cuba mengesahkan dakwaan tersebut.

2 petang: Sah, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) dipecat daripada PKR.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang memberitahu, pemecatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

2.15 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, meninggalkan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, dipercayai menuju Istana Negara.

Mereka bergerak ke sana dengan dua kereta berbeza.

Anwar bagaimanapun enggan memberi kenyataan ketika ditanya siapa yang akan menjadi perdana menteri kelapan Malaysia ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya mengenai status PH, ahli parlimen Port Dickson itu menjawab: “Bersatu sudah mengumumkan mereka keluar dari PH,” katanya.

Wan Azizah pula tidak bercakap kepada media.

2.16 petang: Dengan pengunduran Dr Mahathir Mohamad, ada tiga kemungkinan yang menanti untuk Malaysia, kata seorang peguam.

Bercakap kepada Malaysiakini, New Sin Yew berkata, Mahathir boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

“ Jika tidak, melalui kesepakatan bersama, parti yang memiliki majoriti di Dewan Rakyat berpeluang membentuk kerajaan.

“ Jika mereka gagal menubuhkan kerajaan, saya rasa Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk membubarkan parlimen,” katanya.

2.18 petang: Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, menghantar surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya, Mahathir menghantar surat peletakan jawatan tersebut ke Istana Negara kira-kira jam 1 petang tadi.

2.30 petang: Sejumlah ahli parlimen PKR – diketuai Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin – mengumumkan mereka keluar dari parti dan PH.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Azmin, kumpulan itu memberitahu mereka akan membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Selain Azmin dan Zuraida, turut mengambil tindakan sama ialah Saifuddin Abdullah (MP Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

2.30 petang: Anwar Ibrahim memasuki Istana Negara melalui Pintu 2. Ia kemudian diikuti Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lama kemudian.

2.30 petang: ANALISIS RINGKAS – Dengan pengunduran 25 ahli parlimen Bersatu dan 11 dari PKR, PH tidak lagi memiliki jumlah yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Apakah yang akan berlaku?

Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan jika ada mana-mana parti mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, atau membubarkan parlimen bagi membuka jalan kepada pilihan raya umum.

Ketika hal ini ditulis, Agong dipercayai sedang mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang sepatutnya diberi peluang untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

2.35 petang: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata Amanah akan tetap bersama dengan PH.

“ Amanah tidak akan menyokong Zahid,” katanya kepada Malaysiakini, merujuk kepada presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

2.44 petang: Azmin Ali, Zuraida, Zuraida Kamarudin, Baru Bian, Kamarudin Jaffar serta beberapa timbalan menteri tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan.

Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, pula tiba lebih awal iaitu pada jam 2.09 petang.

3 petang: Selepas berundur daripada jawatan perdana menteri, Dr Mahathir petang ini mengumumkan beliau turut meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya petang ini, notis peletakan jawatan tersebut sudah dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu.

3 petang: Mesyuarat Adun dan ahli parlimen DAP berakhir dan kini anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu pula bertemu.

Menurut dua pemimpin DAP peringkat negeri yang ditemui, parti itu akan mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi sebagai perdana menteri jika PH berjaya memperoleh majoriti mudah di parlimen.

Jumlah yang diperlukan untuk itu ialah 112 kerusi.

“ Kami yakin kepada Mahathir, beliau juga kecewa dengan Bersatu dan sudah berjanji untuk tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

“ Jika kami mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri, ini akan membuat Mahathir seperti pemimpin yang membawa Bersatu dan PKR keluar dari PH,” katanya.

3.15 petang: Anwar Ibrahim dan Wan Azizah dilihat keluar dari pintu dua istana negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 40 minit.

Sementara itu beberapa individu dipercayai penyokong Anwar menaikkan sepanduk semasa rombongan terbabit melintas di depan mereka.

Pada baju mereka tertera perkataan Otai Reformis.

3.20 petang: Sekurang-kurangnya dua menteri dari Amanah membuat kenyataan selamat tinggal melalui media sosial.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, meminta maaf kepada semua petani, penternak dan nelayan berikutan khidmat yang diberikannya selama kira-kira 20 bulan lalu.

“ Setakat ini sahaja hayat saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan saya mendoakan semoga nasib anda semua akan terus berubah di bawah kepimpinan baru nanti.

“ Saya telah menghabiskan sepanjang hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan.

“ Sekiranya saya masih gagal, saya sekali lagi memohon sepenuhnya kemaafan anda semua,” katanya.

Pengarah Strategi Amanah yang juga Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefli Ahmad, pula mengemas kini status wabak Covid-19.

“ Alhamdulillah! dua lagi kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan didiscaj hari ini. Tiada kes positif baru. Palms up together.

“ Kes ke-14 dan ke-19 sebelum ini dirawat di HKL.

“ (Ini) tweet saya yang terakhir Sebagai menteri kesihatan. Terima kasih!” ciapnya.

3.30 petang: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat terg2mpar di ibu pejabat parti itu malam ini.

Dua anggota MPT mengesahkan hal itu semasa dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Keputusan itu dibuat sejurus selepas Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Peletakan jawatan Mahathir diumum hanya beberapa ketika selepas presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyatakan langkah parti itu keluar dari PH.

3.32 petang: Ditanya mengenai kemungkinan berlaku ‘permainan angka’ untuk membentuk kerajaan baru selepas ini, Anwar Ibrahim menafikannya.

“ Tidak, tapi kita akan lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

Ditanya bagaimana keadaan selepas Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri, Anwar juga enggan membuat sebarang spekulas1i.

“ Beliau baru saja menyerahkan surat peletakan jawatan (dan selepas ini) akan mengadap Agong.

“ Selepas itu kita akan teruskan,” katanya.

Beliau juga tidak memberikan jawaban konkrit ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan menjadi perdana menteri seperti yang dipersetuji Majlis Presiden PH.

“ Kita tunggu nanti,” katanya.

3.40 petang: Anwar Ibrahim tiba semula ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ditemui media mengenai peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad, presiden PKR itu berkata, beliau ada bersama perdana menteri semasa keputusan tersebut diambil.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau tidak dapat berkongsi maklumat tersebut lebih awal dengan media kerana ia belum diumumkan secara rasmi.

Katanya beliau cuba memujuk Mahathir agar menukar fikiran tetapi ahli parlimen Langkawi itu berkata, beliau kecewa kerana dikaitkan dengan pihak “yang k0rup”.

“ Saya ada merayu kepada beliau bagi pihak PKR dan PH.

“ Pengkh1anatan ini boleh ditangani bersama, tetapi sudah tentu beliau ada pandangan yang berbeza.

“ Beliau berpendapat tidak wajar untuk beliau dilayan begitu, dikiatkan untuk bekerja dengan perasvah,” katanya.

Anwar juga berpandangan, Mahathir tidak terlibat dalam gerakan menjatvhkan kerajaan PH.

“ Tidak, saya tak fikir beliau (terlibat). Namanya digunakan oleh orang dalam daln luar parti dan beliau menyatakannya sekali lagi seperti sebelum ini, beliau tak ada peranan.

“ Beliau sangat jelas (pendiriannya), tidak mungkin untuk beliau bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Kredit:Malaysiakini

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*