Terkini

CCoE bukti kerajaan fokus tingkatkan keupayaan perangi jenayah siber 

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber atau Cybersecurity Center of Excellence (CCoE), di Cyberjaya, Selangor pada Selasa.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), pelancaran CCoE itu membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti keselamatan siber negara, dengan membina ekosistem keselamatan siber yang mantap melalui jalinan kerjasama kukuh di antara sektor awam dan swasta.

“CCoE akan memberi fokus kepada latihan dalam keselamatan siber dengan menggabungkan kerjasama di antara universiti dan institusi penyelidikan di Malaysia dan Kanada agar budaya inovasi dapat dipupuk.

“Selain itu, pusat kecemerlangan ini juga menawarkan pelbagai program latihan dan bengkel untuk profesional dalam bidang keselamatan siber dari pelbagai negara melibatkan bidang seperti analisis ancaman serta protokol pertukaran maklumat,” kata MCMC dalam satu kenyataan

Tambah MCMC, pusat kecemerlangan itu akan menawarkan latihan khusus untuk memacu kapasiti dan kesediaan keselamatan siber Malaysia, dengan matlamat menampung kekurangan 12,000 profesional siber negara.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sijil tamat pengajian kohort pertama kepada para profesional dalam bidang keselamatan siber yang dilatih BlackBerry dan Institut SANS iaitu sebuah organisasi terkemuka yang mengendalikan latihan-latihan keselamatan siber.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Penggalakan Eksport, Perniagaan Kecil dan Pembangunan Ekonomi Kanada, Mary Ng dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top