Kutipan Tol Akan Dihapuskan Tetapi Akan Digantikan Dengan Ini

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, berkata ia membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Dengan kejayaan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada, dan sebagai ganti caj kesesakan akan diperkenalkan.

“Melalui inisiatif yang akan diperkenalkan itu, pengguna lebuh raya hanya akan dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

“Kadar tol akan dihapuskan sama sekali pada waktu ‘off-peak’ antara iaitu jam 11 malam dan 5 pagi yang mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.

“Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil kutipan caj kesesakan itu akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

“Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, diguna untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” katanya.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji dalam manifesto pilihan raya lalu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya.

Sumber Artikel: Bharian Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*