“Saya hantar macam-macam barang ke mana sahaja, orang pun saya pernah hantar,” – Kisah Wanita Menjadi Runner

SHAH ALAM: “Saya hantar macam-macam barang ke mana sahaja, orang pun saya pernah hantar,” kata Jamilah Zainal, 37, yang menjadikan khidmat penghantar barang atau runner jarak jauh dengan kenderaan pacuan empat roda miliknya sebagai kerjaya.

Mengakui tidak ramai wanita yang menceburi bidang itu, beliau menjadikan kenderaan Mitsubishi Triton miliknya untuk ‘cari makan’ sejak lebih tiga tahun lalu.

Tidak ramai sanggup melakukan pekerjaan sebegini, tetapi ini pekerjaan dipilih Jamilah atau lebih dikenali sebagai Mila untuk menjadi runner sepenuh masa.

Bermula hanya menghantar barangan makanan di sekitar Johor Bahru, Jamilah memperluaskan perkhidmatannya sehingga ke seluruh negara, di mana sahaja barang yang ingin pelanggan hantar.

Kerjaya sebagai runner sebenarnya diceburi secara kebetulan selepas syarikat tempatnya bekerja menjalankan program pemberhentian pekerja menyebabkan beliau secara tiba-tiba hilang punca pendapatan.

Jamilah membuat perkhidmatan menghantar motosikal pelanggan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda 4×4 miliknya.

Jamilah yang sebelum ini bekerja dalam bidang perancangan projek di pelbagai lokasi di Terengganu, Selangor dan Johor selama lebih 10 tahun, pada mulanya buntu untuk mencari pekerjaan baharu di luar kemahirannya.

“Ketika diberhentikan kerja pada 2015, pada mulanya saya cuba mencari pekerjaan lain, tetapi tidak berhasil. Ketika itu, saya baru membeli kenderaan pacuan empat roda ini menyebabkan perlu segera mencari pekerjaan bagi menjelaskan bayaran bulanan.

“Saya mula mencari alternatif lain dengan mengambil upah mengangkut pelbagai barangan di sekitar Johor Bahru sebelum timbul idea untuk menjadikan khidmat runner sebagai pekerjaan sepenuh masa.

“Pada mulanya saya membuat penghantaran makanan yang dipesan pelanggan sebelum mula mempelbagaikan barangan yang dihantar. Kini saya angkut semua barang asalkan bukan barangan haram,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran sebagai wanita menjadi runner dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, Jamilah berkata, setiap pekerjaan mempunyai risiko sendiri dan mengakui pada awalnya ramai pelanggan kurang yakin dengan kemampuannya.

“Alhamdulillah. Kita mempermudahkan urusan lain, kerja kita juga dipermudahkan. Saya akui pernah ditipu apabila pelanggan tidak muncul di lokasi dijanjikan untuk mengambil barang.

“Kini, saya mempunyai pelanggan tetap, malah perkhidmatan yang dijalankan juga diakui pelanggan. Pelanggan percaya dengan perkhidmatan pengangkutan ‘dari pintu ke pintu’ yang selamat dan cepat. Mereka yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Jamilah berkata, mungkin ramai beranggapan kerja sebagai runner adalah mudah kerana hanya membabitkan urusan mengambil dan menghantar barangan, namun sebenarnya setiap pekerjaan mempunyai tanggungjawab yang besar.

Jamilah menjadikan khidmat penghantar barang atau runner jarak jauh dengan kenderaan pacuan empat roda miliknya sebagai kerjaya.

Antara barangan yang dihantar termasuk motosikal, basikal dan barangan dapur, selain sekarang lebih banyak tumpu kepada penghantaran makanan ke pejabat serta rumah.

Beliau perlu sentiasa memastikan keselamatan dan barangan yang diambil serta dihantar itu dalam keadaan selamat, selain proses itu dijalankan dengan cepat.

“Itu kelebihan perkhidmatan runner barangan yang diangkut ini tiba di destinasi dalam tempoh beberapa jam sahaja,” katanya.

Jamilah bertuah kerana menyertai pekerjaan berkaitan minatnya yang suka memandu sambil melihat tempat orang, selain dapat merancang jadual kerja.

Katanya, hasil promosi ‘dari mulut ke mulut’ dan facebook dengan nama 4×4 runner Johor, Jamilah boleh berbangga apabila inisiatifnya mencari pekerjaan membuahkan hasil dan mampu menyara kehidupannya.

Sumber : Bharian Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*