Yang di-Pertuan Agong ke-16 Akan Ditabalkan Menerusi Undian. Cara Undian Raja Raja Dijelaskan Dan Caranya Amat Berbeza

Yang di-Pertuan Agong ke-16 atau Ketua Negara Malaysia akan dipilih hari ini melalui undian Raja Raja. Rata rata rakyat tidak sabar untuk melihat siapa akan menjadi Agong yang ke 16.

Media berkumpul depan Istana Negara seawal 7 pagi

PENGAMAL media tempatan mula berkumpul di hadapan pintu masuk utama Istana Negara, bagi menantikan ketibaan raja-raja Melayu yang dijadual menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Khamis.

Puluhan wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi media sudah berkumpul di sini, sejak 7 pagi lagi.

MEDIA ANTARABANGSA JUGA TURUT HADIR

Mesyuarat yang dijadual berlangsung pada 10.30 pagi itu turut menarik perhatian warga media termasuk media antarabangsa apabila Sultan Muhammad V mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jan.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan sebelum berakhirnya tempoh pemerintahan selama lima tahun.

Berdasarkan laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu daripada tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

BAGAIMANA PROSES PENGUNDIAN DIJALANKAN?

Azuan Effendy memuatnaik status di Facebook beliau menerangkan apa yang akan terjadi ketika proses pengundian untuk memilih YDP Agong Malaysia yang ke 16.

Hari ini sekali lagi Duli Yang Maha Mulia Raja-raja akan melaksanakan amanah yang begitu besar yakni memilih salahseorang di kalangan Baginda Raja-raja yang akan menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sebelum tiba ke tarikh Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-251 (khas) pada hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telahpun menyembahkan warkah kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada baginda Raja-raja berhasrat dicalonkan untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.Bagi Raja-raja yg tidak berhasrat dipilih , prosesnya adalah Baginda memberikan makluman secara bertulis kpd Penyimpan Mohon Besar Raja- raja dan negeri Baginda akan diletakkan di tempat akhir dalam senarai pencalonan.

PERALATAN YANG AKAN DIGUNAKAN KETIKA MENGUNDI

Prosiding pemilihan Raja-raja ini adalah sungguh murni dan cermat kerana ia dibuat secara undi sulit, dan pengundian yang dibuat oleh Raja-raja adalah dengan menggunakan pen dan dakwat yang sama. Kertas undi yang digunakan juga adalah tidak bernombor dan ditandakan.

Bagi tujuan menjaga keharmonian dan kesepakatan di kalangan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, kertas- kertas undi yang telah dikira akan dimusnahkan. 

HANYA 2 INDIVIDU YANG AKAN TAHU APA TERTULIS PADA KERTAS UNDIAN

Bolehlah dikatakan yg tahu keputusan pengundian hanyalah dua individu yakni Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan lazimnya Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Buat masa ini KDYMM Sultan Pahang adalah yg termuda dari segi pemerintahan kerana Baginda baru sahaja dimasyhurkan pada 12 Januari 2019 yg lalu. Namun sekiranya Baginda juga ‘berdiri’ sebagai calon YDPA atau TYDPA maka Baginda tidak boleh berperanan sebagai wakil Raja-raja yang akan mengira undi. Berkemungkinan besar DYMM Raja yang kedua termuda dari segi pemerintahan akan dipilih bagi melaksanakan tanggung jawab tersebut.

Bagi Raja yang tidak berangkat untuk pemilihan YDPA dan TYDPA, Baginda tidak boleh mewakilkan kepada waris atau pemangku untuk berangkat dan mengundi bagi pihak baginda. Namun Baginda boleh memilih seorang Raja lain sebagai proksi iaitu mengundi bagi pihak Baginda, sekiranya tidak dapat berangkat ke mesyuarat pemilihan.

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memberikan satu kertas undi kepada setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapat Baginda sama ada Raja yang paling kanan yang menawarkan diri (satu nama sahaja) adalah SESUAI / TIDAK SESUAI dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Proses yg sama dijalankan untuk jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.Kepada Baginda Raja yang diamanahkan sebagai proksi Baginda akan diberikan kertas undi tambahan.

Calon hendaklah mendapat majoriti 5 undi (kerana jumlah Raja-raja adalah 9 orang mewakili 9 negeri Beraja) sebelum Raja yang mempengerusikan mesyuarat pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda. Jika Raja yg berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu tidak dapat memperolehi undi majoriti, maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yg kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya akan selesai selepas Baginda Raja yang dipilih dan mendapat undi majoriti menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.Selepas itu Majlis Raja-raja akan mengisytiharkan Baginda Raja- raja sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan untuk tempoh 5 tahun.

Selepas tamat urusan pemilihan bagi kedua-dua jawatan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menghantar surat dan mengesahkan keputusan pemilihan kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas baginda menandatangani sumpah jawatan dalam satu Istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan Ketua Hakim Negara dengan ditandatangani oleh dua orang saksi di kalangan Raja-raja yang dipilih oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja.

Istiadat ini telahpun ditetapkan pada 31 Januari 2019 ini bagi mengangkat Duli Yang Maha Mulia Raja yang dipilih mengisi takhta sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.Insyaallah sejarah akan terukir pada hari ini, negara bakal mengetahui Baginda Raja yang akan dipilih sebagai Ketua Negara Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Semoga info ini bermanafaat kepada anda semua.

Kredit Info: Azuan Effendy

Edited: KL Viral

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*