Adakah Pemain Bola Sepak Ini Mampu Membawa Ramai Peminat Dia Memeluk Islam? Ini Kisah Yang Ramai Tidak Tahu

Sekali lagi membuktikan kemahiran yang diidamkan penyokong, dua nama menjadi sebutan utama peminat Liverpool sejak awal pagi tadi.

Mereka ialah Sadio Mane dan Mohamed Salah. Dan menariknya kedua-dua mereka adalah pemain handalan yang beragama Islam.

Ketika menentang FC Porto di gelanggang Estadio do Dragao itu kedua-dua mereka mempamerkan aksi cemerlang. Mane sendiri menyumbang tiga gol, manakala selebihnya hasil jaringan Salah dan Roberto Firmino.

Dan kejayaan membenam lawan di gelanggang lawan itu memberi alasan yang cukup kuat untuk penyokong mereka berpesta.

Ia adalah kejayaan pertama The Kop menembusi pusingan kalah mati kejuaraan Liga Juara-juara sejak 2009.

Selepas perlawanan berakhir sebahagian besar penyokong Liverpool yang berkunjung ke Porto hanya menyebut satu nama – Mo Salah.

Sejak menunjukkan kelincahannya di atas padang, pemain warga Mesir yang dibeli dari kelab Roma itu segera memikat hati peminat Liverpool.

Malah mereka mencipta lagu khusus untuk Salah – yang digelar sebagai “raja Mesir” – itu. Ia adalah lagu yang diubah suai liriknya daripada irama kumpulan Britain, James, berjudul Sit Down.

Lagu itu dinyanyikan ketika mereka bergembira meraikan kemenangan Liverpool di dalam sebuah pub.

“Mo Sa-la-la-la-lah
Mo Sa-la-la-la-lah

If he’s good enough for you
he’s good enough for me.

If he scores another few
then I’ll be Muslim too.

If he’s good enough for you
he’s good enough for me.

He’s sitting in the mosque
that’s where I wanna be.

Mo Sa-la-la-la-lah…”

Salah yang baru-baru ini diangkat sebagai pemain terbaik Afrika sudah menjaringkan 30 gol untuk Liverpool.

Selain itu dia juga banyak berjasa kepada kelab berkenaan atas sumbangannya membantu pemain sepasukan menjaringkan gol.

Baru berusia 25 tahun beberapa laporan menggambarkan Salah sebagai seorang Muslim yang baik dan banyak membantu orang ramai.

Antara kisah yang banyak diperkatakan mengenai Salah ialah semasa dia bermain untuk kelab Al-Ittihad Alexandria di Mesir.

NILAI ISLAM BAGI DIRI MO SALAH

Pada suatu hari rumah keluarganya dirompak dan penjenayah terbabit ditahan polis dua hari kemudian. Tidak seperti kebanyakan orang, Salah meminta pihak berkuasa tidak mendakwa perompak terbabit walaupun bapanya berharap hukuman dikenakan ke atas lelaki berkenaan.

Sebaliknya Salah memberikan sejumlah wang kepada perompak berkenaan untuk memudahkannya memulakan hidup baru. Tidak cukup dengan itu Salah membantu lelaki berkenaan mendapatkan pekerjaan.

APA MO SALAH BUAT SEBELUM BERAKSI DI PADANG? INI DIDEDAHKAN SENDIRI OLEH JURULATIH JUERGEN Klopp

JUERGEN Klopp mendedahkan bintang Liverpool yang beragama Islam termasuk Mohamed Salah, Sadio Mane dan Emre Can diberikan ruang dan masa untuk melaksanakan kewajipan mereka sebagai Muslim.

Menerusi wawancara bersama penyiar Britain, Channel 4 sebelum separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang AS Roma di Anfield, awal pagi tadi, Klopp mendedahkan beliau dan pasukannya menghormati tuntutan agama pemainnya termasuk membenarkan mereka mendirikan solat.

Sambil memuji impak yang dibawa oleh bintang dari Mesir, Salah sebagai menakjubkan, Klopp berkata, ia adalah apa yang diperlukan oleh Reds ketika ini.

“Menakjubkan untuk melihat seorang pemuda hebat yang penuh dengan keceriaan, penuh dengan kasih sayang, penuh dengan rasa persahabatan dan penuh dengan segala-galanya,” kata pengurus dari Jerman itu.

“Dalam dunia yang mana kita agak bergelut untuk memahami semua perkara yang berlaku di sekeliling kita, menakjubkan untuk kami memilikinya di sini.

“Dia (Salah) seorang Muslim dan dia melakukan apa yang Muslim lain lakukan sebelum perlawanan. Membersihkan diri (wuduk) dan perkara seumpamanya.

“Jadi kami datang seminit atau dua minit lebih awal ke bilik persalinan supaya dia boleh menyediakan diri untuk perlawanan. Sama seperti Sadio Mane, Emre Can dan mereka melakukannya,” katanya.

“Tiada seseorang pun menyoal, kenapa kami harus tiba lebih awal dan perlu menunggu. Itu semua normal dalam satu pasukan, seperti dalam dunia yang ideal, kami cuba saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

Impak dibawa Salah yang mengharungi musim pertamanya bersama Liverpool musim ini cukup menakjubkan malah peminat turut menyanyikan lagu ‘I’ll be Muslim too’ kerananya.

“Mo Sa-la-la-la-lah, Mo Sa-la-la-la-lah, if he’s good enough for you, he’s good enough for me, if he scores another few, then I’ll be Muslim too,” itulah yang dinyanyikan peminat dari stadium hingga ke pub ketika mereka menonton aksi lincah Salah.

Pada perlawanan dengan Roma, awal pagi tadi Salah terus mengganas apabila meledak dua gol dan melakukan dua umpanan untuk membantu Liverpool menang besar 5-2.

Semalam, Salah yang sudah meledak 43 gol dalam semua pertandingan bersama Reds musim ini dipilih sebagai pemenang Anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) 2017-18 dengan menewaskan Kevin de Bruyne, Harry Kane, Leroy Sane, David Silva dan David de Gea.

SUMBER : HMETRO ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*