Majikan Kurung Pekerja Dalam Sangkar Kerana Sokong India Tampil Beri Penjelasan

VIDEO menunjukkan seorang lelaki mengurung sekumpulan penyokong pasukan bola sepak India dalam sangkar sebelum perlawanan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula telah tular.

Susulan itu, pihak keselamatan sedang menjalankan siasatan dan dalam proses untuk menahan beberapa individu, demikian laporan Khaleej Times, Jumaat.

Pada perlawanan Piala AFC Asia yang berlangsung di Abu Dhabi, Khamis itu, India tewas kepada UAE 2-0.

Menerusi video yang tular itu, seorang lelaki yang sedang memegang dan menghayunkan kayu duduk di depan binaan sangkar sedang bercakap dengan beberapa pekerja yang dikurung di dalamnya.

Lelaki itu bertanya pasukan mana yang mereka sokong antara UAE dan India, lapor Khaleej Times.

Apabila diberitahu mereka menyokong India, lelaki itu kurang senang dengan jawapan itu kerana menganggap jika menetap dan bekerja di UAE bermakna mereka perlu sokong pasukan UAE.

Selepas beberapa kali mengetuk dawai sangkar itu, dia sekali lagi bertanyakan kumpulan lelaki itu dan apabila mereka menjawab menyokong UAE, barulah lelaki itu lepaskan mereka.

Menurut pejabat Peguam Negara UAE, tindakan undang-undang telah diambil terhadap pihak yang merakam visual itu kerana ia menyalahi nilai toleransi dan hormat-menghormati sesama insan.

“Diskriminasi tidak boleh diterima kerana kami percayakan kesamarataan peluang dan meritokrasi,” kata kenyataan itu.

Sementera itu, pemilik video yang tular itu telah memuat naik klip video lain di YouTube dengan menyatakan ia sekadar jenaka.

“Lelaki itu semua pekerja saya dan ada antaranya yang saya kenali selama 22 tahun. Saya tinggal bersama mereka di ladang ini, saya tidak pukul mereka atau mengurung mereka,” jelasnya.

Sumber : mStar Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*