Pasangan Pengantin Tunaikan Hasrat Mereka Untuk Bantu Lelaki Kurang Upaya Dan Ini Respond Lelaki Itu

PASANGAN pengantin di Johor Bahru, hari ini, memilih untuk menyampaikan sumbangan kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) pada hari bahagia mereka.

Nurul Nabilah Pungut, 24, yang juga seorang jururawat berkata, hasratnya untuk beramal pada hari persandingan disambut baik keluarganya dan mentua.

Malah, suami, Mohd Khairul Annuar Mohd Yakin, 26, yang juga kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menyokong hasratnya itu.

“Kami bersyukur kerana berpeluang untuk beramal pada hari bersejarah kami berdua,” katanya.

Selain wang tunai, mereka menyampaikan barangan keperluan kepada penerima, Mokhtar Mahmood, 77, yang kudung kedua-dua kaki.

Nurul Nabilah berkata, dia mengambil inisiatif itu kerana mahu memupuk kesedaran ramai terhadap nasib golongan yang kurang bernasib baik.

Katanya, lebih-lebih lagi, ketika seseorang menempuhi detik atau pengalaman manis dalam hidup.

Sementara itu, Mokhtar yang berasal dari Taman Cempaka, Tampoi, bersyukur menerima sumbangan daripada pasangan pengantin.

“Saya dijemput ke majlis persandingan ini dan diberi kejutan manis apabila pasangan pengantin menyampaikan sumbangan.

“Saya kehilangan kedua-dua kaki tiga tahun lalu akibat diabetes dan kini bergerak menggunakan kerusi roda,” katanya.

Menurutnya, dia terharu dengan sumbangan itu dan mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.

Sumber : Harian Metro

Kenduri kahwin sambil beramal

Image result for kahwin sambil derma

PASANGAN pengantin, Siti Mariam dan Raja Mohd Azeri membuat kelainan pada majlis perkahwinan mereka dengan menyediakan tabung derma. – Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Bukan saja meraikan raja sehari, majlis perkahwinan yang diadakan di sini, hari ini, juga mengutip derma untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

Konsep itu dizahirkan dalam majlis persandingan Siti Mariam Mohd Zain, 21, dan pasangannya Raja Mohd Azeri Raja Awang, 22, di Kampung Tiong di sini.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Zain Yusof, 66, berkata hasratnya untuk membuat amal seperti itu terpendam sejak tahun lalu apabila rezeki semakin murah selepas kerap bersedekah.

“Saya menyuarakan hasrat itu kepada beberapa orang jiran dan mereka bersetuju membuat amal sebegitu.

“Selain itu, lebih 50 penduduk kampung di sini turut memberi wang tunai kepada kami untuk membeli keperluan mengadakan kenduri dan saya hanya menyediakan seekor lembu,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Mohd Zain berkata, melihat kepada sokongan yang diterima, beliau bercadang membuat majlis seperti itu lagi di lain kali berikutan masih ada dua lagi anaknya yang belum mendirikan rumah tangga.

Derma berkenaan akan disumbangkan kepada tiga pihak iaitu Madrasah Ribat-al Mustofa Bagan Pulai Chondong, rumah anak yatim Salimah, dan Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah Bunut Susu, Pasir Mas.

Lebih 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis perkahwinan anak ketiga dari lima beradik dan ramai dalam kalangan mereka menyumbangkan wang ke dalam tabung yang disediakan.

Turut hadir adalah 100 wakil dari tiga penerima derma terbabit yang mengalunkan Qasidah.

Sementara itu, Mudir Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah, Nawawi Abdullahdari, berkata derma itu sedikit sebanyak meringankan beban pihaknya untuk membeli kelengkapan 160 pelajarnya.

Beliau berkata, madrasah itu tidak mendapat pembiayaan dari mana-mana pihak dan akan memanfaatkan sepenuhnya derma itu.

“Saya bercadang membeli keperluan pelajar seperti kitab dan rehal baharu bagi menggantikan yang usang.

“Derma ini disifatkan sebagai saham akhirat kepada penderma dan diharapkan akan menjadi contoh kepada orang lain,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*