Ibu Sudah Kehilangan Satu Anggota Badan Dan Masih Tidak Tahu, Linda Dan Diana Rafar Belum Berani Untuk Beritahu

TANGAN kiri ibu kepada penyanyi Linda Rafar dan Diana Rafar iaitu Rasimah Abd Rahman, 73, dipotong akibat jangkitan kuman yang merebak ke dalam darah.

Diana berkata, ibunya yang masih belum sedarkan diri sepenuhnya tidak tahu jika sebelah tangan dipotong pagi tadi di Hospital Shah Alam.

“Tiga bulan lalu mak dimasukkan ke hospital akibat gigitan serangga hingga dimasukkan ke unit rawatan rapi. Selepas itu, mak ada jalani pembedahan namun sakit tak sembuh juga.

“Minggu lepas mak mengadu rasa sakit yang teruk dan dia dimasukkan ke hospital sekali lagi. Selepas diperiksa, doktor maklumkan kuman merebak ke darah.

“Selepas berbincang bersama adik-beradik, kami sepakat untuk mak jalani pembedahan untuk potong tangan yang kena jangkitan. Mak tak tahu pun,” katanya kepada Harian Metro.

Diana berkata, dia dan adik-beradik lain tidak sampai hati untuk memberitahu keadaan terkini ibu mereka.

“Buat masa sekarang mak sudah sedar tapi masih dalam keadaan lemah. Kami adik-beradik tak sampai hati nak beritahu yang tangan mak sudah dipotong.

“Cuma, saya minta jasa baik semua peminat, keluarga dan rakan mendoakan supaya mak saya terus kuat dan kembali sihat seperti biasa,” katanya.

Menurut Diana, meski hanya tangan ibunya dipotong, dia berasakan seperti kehilangan orang tersayang itu.

“Alhamdulillah, proses pembedahan mak berjalan lancar. Walaupun berat untuk kami terima keadaannya tetapi kami kena kuat dan berikan sokongan kepada mak.

“Walaupun hanya tangan dipotong tetapi perasaan dilalui sekarang seperti kehilangan orang tersayang. Kuatkan kami ya Allah.

“Tangan yang dipotong kena melalui proses mandi, kafan dan kebumi. Terima kasih kepada ustazah yang banyak membantu melancarkan proses ini,” katanya.

Sementara itu, Linda berkata, dia berasa sangat lemah melihatkan keadaan ibunya kini.

“Sejujurnya, saya tak kuat untuk harungi semua dugaan ini. Tapi, saya percaya setiap ujian itu ada ganjaran yang Allah janjikan,” katanya.

Belum berani nak beritahu mak

“MAK ada tanya dan minta buka balutan, tapi kami adik-beradik masih berdolak-dalik,” kata pelakon Diana Rafar mengenai keadaan ibunya Rasimah Abd Rahman, 73, yang masih dirawat di Hospital Shah Alam.

Tangan kiri ibunya dipotong akibat jangkitan kuman di hospital itu, kelmarin.

Diana berkata, dia dan adik-beradik lain belum ada kekuatan untuk memberitahu perkara sebenar.

“Mak masih dalam keadaan lemah. Disebabkan itu, kami adik beradik tak berani dan belum bersedia untuk bercakap mengenai keadaan sebenarnya.

“Dalam masa sama, saya masih bingung dan lemah semangat. Saya ingat saya kuat tapi tidak. Sudah dua hari saya tak boleh tidur.

“Sedangkan hari sebelumnya saya okey saja ketika masuk bilik forensik tapi semalam baru saya sedar yang tangan mak sudah tiada. Saya berasa seperti hilang nikmat dunia,” katanya.

Menurut Diana, ibunya seorang yang suka kelihatan cantik.

“Saya rasa mak dah tahu, cuma dia belum lihat keadaan sebenar dirinya sebab masih berbalut,” katanya.

Dalam pada itu, Diana berterima kasih kepada peminat dan orang ramai yang tidak henti memberikan semangat dan mendoakan kesihatan ibunya.

Sementara itu, menerusi Instagram Story kakak kepada Diana iaitu Linda Rafar berkongsi gambar ibunya di hospital.

Terdahulu Harian Metro melaporkan tangan kiri ibu Diana dipotong akibat jangkitan kuman yang merebak ke dalam darah.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*