Ini Pakaian Yang Akan Dipakai Oleh Ellie Suriaty Demi Tarikh Istimewa 812 Di Dataran Merdeka

Biar apa orang kata, enggan memperdulikan sebarang kritikan Ellie Suriati tetap bersemangat dan nekad menonjolkan kehadirannya di himpunan bersama penyokong PAS, Umno dan NGO esok.

Dan kemungkinan berbeza daripada peserta lain pelakon, penulis skrip dan pengarah itu merancang datang dengan keunikan tersendiri.

Dia mahu berkebaya, berkain batik serta berselendang putih.

Kata Ellie, penampilannya dirancang sebegitu kerana mengambil kira sifatnya sebagai wanita Melayu selain mahu meraikan jiwa bangsa yang menebal dalam dirinya.

“Kami akan datang ke perhimpunan memakai kebaya, berkain batik dan selendang putih,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Ellie matlamatnya ialah untuk menyemai benih perasaan cintakan Melayu yang dilihatnya kini semakin terhakis.

“Kita perlu mengimbas kembali perjuangan nenek moyang kita. Nak guna untuk bakar semangat untuk zaman sekarang kerana saya lihat ramai orang Melayu kini malu untuk mengaku Melayu,” katanya dengan nada kesal.

Ada juga risaunya

Himpunan kesyukuran berkaitan penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dijadual berlangsung esok di sekitar Dataran Merdeka.

Ia diadakan walaupun kerajaan sudah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 23 Nov lalu bahawa konvensyen tersebut tidak akan diratifikasi.

Namun, Ellie berkata, dia tetap akan hadir ke himpunan berkenaan kerana enggan mempercayai keputusan dibuat kerajaan

Mungkin hanya sekarang kerajaan kata mereka menolak untuk meratifikasi Icerd tetapi kita tak tahu di masa akan datang, keadaan itu boleh berubah.

“Mungkin sekarang keputusan itu digantung.

“Perdana menteri perlu mengutuk sekeras-kerasnnya dan melalui proses sewajarnya di parlimen dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menolak Icerd,” katanya.

Gambar fail

Ditanya anggarannya mengenai jumlah penyokong yang akan hadir, pelakon filem Spinning Gasing itu berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran namun yakin mereka ramai.

“Besar. Saya dapat rasakan ramai akan hadir pada himpunan ni. Cuma saya tak berani untuk sasarkan nombor, yang pasti akan hadir mungkin sampai ratusan ribu orang,” katanya.

Bagaimanapun, Ellie tidak dapat menolak kebimbangannya mengenai kemungkinan bakal berlaku perkara tidak diingini pada himpunan digerakkan PAS itu.

“Saya khuatir sekiranya ada provokasi daripada pihak yang cuba merosakkan himpunan aman ini.

“Mereka mungkin berniat jahat dengan mengupah orang sampai jadi macam insiden berlaku di kuil di Subang Jaya baru-baru ini.

“Kejadian bukan berpunca daripada konflik antara kaum, tetapi nampak lebih kurang begitu apabila ada orang Melayu diupah untuk terbabit sama,” katanya.

Sumber Artikel : Malaysia Kini

1 Trackback / Pingback

  1. Ini Pakaian Yang Akan Dipakai Oleh Ellie Suriaty Demi Tarikh Istimewa 812 Di Dataran Merdeka - Gen 2

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*