Ini Sebab Kenapa Iqram Dinzly Diisytiharkan Muflis. Dan Dia Mengaku Memang Dia Menyesal Sekarang

KUALA LUMPUR: Pelakon Iqram Dinzly mengakui, kesilapannya kerana tidak peka dalam hal berkaitan pembayaran cukai pendapatan menyebabkan dirinya diisytihar muflis, semalam.

Iqram atau nama penuhnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin bagaimanapun, menegaskan dia tidak pernah mengabaikan setiap notis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), malah memberikan kerjasama apabila diperlukan.

IQRAM mengakui kesilapannya kerana tidak peka dalam hal berkaitan pembayaran cukai pendapatan. Foto Muhaizan Yahya

“Dua minggu lalu, saya ke pejabat LHDN di Jalan Duta untuk berbincang mengenai cara pembayaran, tetapi mereka berkata, saya tiada inisiatif membayarnya.

“Jumlah bayaran juga dinaikkan daripada RM67,000 kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Saya tidak tahu nak buat apa.

“Takkan saya mahu pinjam daripada orang lain? Disebabkan itu, saya berkongsi luahan ini di laman sosial,” katanya.

Terdahulu, pelakon kontroversi berusia 38 tahun itu dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peguam LHDN di Mahkamah Majistret, Ipoh, semalam.

“Ketika sampai, peguam LHDN menyerahkan keputusan mahkamah bahawa saya diisytihar bankrap. Terkedu saya dibuatnya.

“Saya terfikir bagaimana cara untuk membayarnya. Ketika ini, saya sedang mencari jalan untuk menyelamatkan aset yang ada seperti kereta dan rumah,” katanya.

Iqram berkata, dia menerima notis mengenai pembayaran cukai pendapatan sejak tiga tahun lalu dengan jumlah asal RM200,000, iaitu kiraan sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang lakonan.

Selepas namanya disenarai hitam, Iqram melantik ejen bagi membantunya berurusan dengan pihak LHDN dan jumlah itu dikurangkan sehingga RM67,000.

Menurut Iqram, tahun lalu, dia diarahkan untuk menjelaskan jumlah itu dalam tempoh tiga bulan.

“Saya faham, ia berpunca daripada kesilapan saya kerana tidak peka dengan perihal cukai pendapatan. Tetapi, saya tidak mengabaikan setiap notis yang dihantar dan memberi kerjasama dengan mereka” katanya.

Sumber Artikel : Berita Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*