Nico G Menceritakan Apa Yang Anak Dia Cakap Kepada Dia Sebab Dia Masih Menari Sehingga Hari Ini

AMPANG: Penyanyi rap yang juga anggota kumpulan Nico G, Nico mengakui, anak sulungnya pernah menyuarakan perasaan kurang selesa melihat dia masih ligat beraksi di pentas.

Katanya, dia mengambil pendekatan dengan menjelaskan kepada anaknya mengenai konsep persembahan mereka, selain menyatakan lagu rap dan tarian sudah sebati dalam hidupnya sejak usia muda.

“Saya faham, anak semakin remaja dan mungkin segan apabila ayah yang sudah memasuki usia 40-an, tetapi masih menari mengalahkan remaja.

“Saya tidak salahkan anak kerana faham, dia sedang melalui proses ke arah kedewasaan. Apabila duduk berbual dengannya, saya jelaskan mengenai kerjaya seni.

“Saya mahu dia tahu, bidang nyanyian menjadi punca pendapatan awal saya hingga dapat menyara keluarga dan memperkukuhkan langkah sebelum menceburi kerjaya lain,” katanya.

Nico yang ditemui pada majlis pelancaran DTC Motors Sdn Bhd, baru-baru ini bersyukur kerana anaknya sudah mula faham dan menerima kenyataan ayahnya adalah penyanyi rap.

“Pernah juga saya nampak dia secara sembunyi-sembunyi mengambil video saya sedang membuat persembahan.

“Itu sudah cukup membuatkan saya terharu. Pada usia ini, saya cuba sesuaikan gerak tari supaya tidak terlalu agresif seperti zaman muda dulu,” katanya.

Selain Nico atau nama sebenarnya, Abdul Fashah Abdul Aziz, 46, kumpulan yang popular pada awal 1990-an itu turut dibarisi Affa, 42, dan Dino, 43.

Mereka pada asalnya menggunakan nama Nico atau Network International Chicanos Organization dan dikenali menerusi lagu Inilah Nasibku pada 1993.

Bermula dengan album Buatan Los Angeles, trio itu juga pernah tampil bersama Realiti pada 1995 dan Alamak! (1996).

Nico pernah kembali pada 2003 menerusi Ops Kecoh bersama ahli baharu, Ezad.

Selepas sekian lama menyepi, Nico muncul semula dengan barisan anggota asal bersama nama baharu, Nico G sebagai projek penjenamaan semula kumpulan mereka.

Sumber Artikel: BHARIAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*