Selepas Tiga Tahun Menyepi, Hafiz Suip Dedah Detik Sukar Dan Ini Sebenarnya Terjadi Kepadanya…

Hampir tiga tahun kelibat Hafiz Suip tidak kelihatan dalam gelanggang industri muzik tanah air.

‘Kehilangan’ juara Akademi Fantasi (AF) musim ke-7 ketika namanya gemilang di puncak menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat.

Apa punca Hafiz menyepi dari bidang seni suara? Benarkah penyanyi berusia 29 tahun itu sudah mula kehilangan pengaruh?

Dalam satu pertemuan dengannya baru-baru ini, penyanyi kelahiran Sarawak itu menjawab persoalan yang diajukan kepadanya.

Mengakui namanya agak ‘tenggelam’ dalam lambakan penyanyi baharu, Hafiz berkata, menyepi dari bidang nyanyian bukanlah pilihannya.

Sebaliknya, dia yang pernah masyhur dengan lagu Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano berkata, sepanjang tiga tahun ‘menghilang’ itu dia melalui jalan yang sukar dalam mencari ilham untuk menulis lagu.

Dalam nada yang sebak dan luluh, Hafiz mendedahkan bagaimana fasa itu tambah memeritkan apabila beberapa kali lagu yang digubahnya tidak diterima untuk dipasarkan.

“Apabila saya bagi lagu saya (kepada syarikat rakaman) sesetengah pihak mengatakan lagu itu bukan untuk pendengar-pendengar zaman sekarang. Saya tidak tahu apa penyelesaiannya.

“Namun, saya percaya semua yang berlaku bergantung pada rezeki… ada masa kita berada di bawah dan ada masa kita berada di atas,” kata Hafiz berkongsi perasaan dengan Astro AWANI.

Ketika industri hiburan dibanjiri dengan bintang-bintang baharu yang digelar sebagai ‘Budak Baharu Nak Up’ (BBNU), Hafiz tidak pula gelisah atau berkecil hati hanya kerana golongan itu mengambil alih kedudukannya dan sebilangan rakan-rakannya.

Sebaliknya, sebagai seorang yang berfikiran positif, Hafiz yang juga bapa kepada Muhammad Riyadh Zefri, 2, berkata, fenomena BBNU merupakan suatu yang positif untuk perkembangan industri muzik.

“Untuk menaikkan nama memang senang tetapi untuk kekal berada di atas sesuatu yang mencabar dan itu merupakan cabaran besar di dalam industri hiburan pada hari ini” ujar Hafiz lagi.

Dalam pertemuan itu, Hafiz turut berkongsi mengenai single terbaharunya berjudul Kisah Cinta Kita yang disifatkannya sebagai buah tangan sempena kemunculan semulanya dalam arena seni suara.

Single ciptaan Ayden Ali dan Ikhwan Fatanna itu sudah dua bulan dipasarkan secara digital.

Hafiz dan anak sulungnya, Muhammad Riyadh Zafri sewaktu di Pulau Redang bagi penggambaran muzik video ”Kisah Cinta Kita”.

Sementara muzik video lagu berkenaan yang dimuat naik di laman YouTube sehingga kini telah meraih jumlah tontonan sebanyak 1.4 juta.

Kepada peminat-peminat Hafiz, anda kini berpeluang menonton penyanyi kesayangan anda mencuba nasib sebagai pembaca berita.

Di saluran Astro AWANI, Hafiz menyertai rakan-rakan artis popular lain sebagai penyampai berita kisah-kisah masyarakat dalam slot Komuniti AWANI pada setiap malam pada jam 8:15 malam.

Sumber: Astr0awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*