Terkejut Dengan Jawapan Hotel Bila Ditanya Mana ‘Prayer Room’, Ini Respond Fizo Omar

Pelakon dan usahawan Fizo Omar melahirkan rasa terharu terhadap pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di Phuket, Thailand yang bermurah hati menyediakan sebuah bilik bagi membolehkan dia bersama rakannya menunaikan solat.

Fizo berkata, pada awalnya mereka bertanya sama ada hotel tersebut mempunyai surau namun apabila diberitahu tiada, pengurus yang bertugas tanpa berfikir panjang membuka sebuah bilik khas buat mereka.

Lebih mengharukan kata Fizo, mereka tidak menginap di hotel berkenaan tetapi pihak hotel tetap ingin membantu walaupun berbeza agama.

“Sekali dia rujuk kepada pengurus dan mereka siap buka satu bilik untuk kami tumpang solat di Patong Beach, Phuket ini.

“Walaupun berbeza agama tetapi mereka tetap menghormati orang lain.

“Bukan senang hotel bertaraf lima bintang dekat tempat percutian boleh bagi layanan macam ini sedangkan kita bukan tinggal dekat sini pun,” katanya di Instagram.

Fizo berada di pulau peranginan itu bagi mengikuti kelas masakan Thailand.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia akan memilih menetap di hotel tersebut sekiranya dia berkunjung ke Phuket pada masa hadapan.

Katanya, apa dilakukan oleh pihak pengurusan hotel itu adalah contoh kebaikan tidak mengenal siapa selain tidak rugi membantu orang lain.

“Tak rugikan sebenarnya? Sudah tentu perjalanan saya ke Phuket selepas ini, saya akan menetap di hotel ini kerana layanan tersebut.

“Jadi tak salahkan kalau kita memberi dulu walau kepada sesiapa pun. Satu hari ia akan datang balik kepada kita tidak kira dengan cara apa pun,” katanya.

Sementara itu Fizo Omar memberitahu dia dan isterinya Mawar menukar hampir 10 helai baju sehari untuk anaknya Wan Maryam yang kini berusia tujuh bulan.

Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 33, berkata, ia adalah hasil baju terkumpul yang dibeli sejak lima tahun mereka berkahwin.

“Lima tahun lepas masa Daddy dan Mummy bulan madu di Itali teruja sangat nak beli baju bayi, setiap tempat kami pergi benda yang wajib beli adalah baju bayi. Biasalah pasangan yang baru kahwin semuanya teruja nak dapat anak dan selalunya tak tunggu lama nak dapat zuriat.

“Cik Yam (Wan Maryam) tukar baju satu hari sampai lebih 10 kali sebab baju ni kumpul hampir lima tahun dah,” ujarnya di Instagram.

Fizo berkahwin dengan Mawar pada 10 November 2013.

Pasangan ini mendapat cahaya mata pada 29 Disember 2017 menerusi rawatan kesuburan.

Sementara itu, Fizo berkata, dia dan isteri tetap yakin membeli baju-baju bayi biarpun ketika itu perkahwinan mereka sudah memasuki tahun keempat.

Fizo berkata, pelbagai rawatan dan ikhtiar diusahakan dalam tempoh itu tanpa rasa putus asa.

“Hari demi hari menunggu sehinggalah masuk tahun ke empat perkahwinan, tak dapat juga zuriat. Macam-macam cara cuba dan ikhtiar.

“Perasaan saya sangat yakin yang satu hari Allah akan izinkan kami untuk berzuriat. Baju bayi tak payah cakap. Yakin je beli dah macam ada anak ramai kat rumah tu.

“Saya tak pernah putus asa atau tertekan dengan soalan “bila nak dapat anak?… doa dan terus berdoa, akhirnya Allah izinkan bila dia tahu kami sudah bersedia untuk jadi ibu bapa,” ujarnya.

Sumber : mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*