Ini Nasihat Untuk Yang Ingin Datang Ke Stadium Untuk Lihat Malaysia Lwn Thailand

LEBIH 80,000 orang akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini dan anda dinasihati untuk pergi ke stadium empat jam lebih awal atau paling minimum dua jam lebih awal daripada sepak mula.

Ini amalan penyokong di luar negara supaya dapat tempat terbaik dan elak kesesakan, lebih-lebih lagi di Malaysia, di mana ia menggunakan sistem tiket yang agak ketinggalan dan menggunakan tempat duduk bebas (free seating).

Pintu masuk ke stadium akan mula dibuka pada jam 5.00 petang, pastinya inilah peluang anda untuk merebut tempat terbaik dan mengelakkan kesesakan di pintu masuk dan juga jalan raya.

Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj ada berkongsi tips untuk pengunjung SNBJ hari ini.

Menurut Chris, ada 76 laluan masuk akan dibuka iaitu 16 laluan di Pintu A (tiket grandstand RM40 dan tiket terbuka RM30) serta 16 laluan masuk di Pintu B, 28 laluan masuk di Pintu C dan 16 laluan masuk di Pintu D untuk tiket terbuka RM30 sahaja.

Penyokong juga digalakkan supaya menggunakan perkhidmatan LRT dan MRT yang telah dilanjutkan waktu operasinya sehingga 1.00 pagi bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan tempat letak kereta.

Penyokong yang sudah membeli tiket secara atas talian tetapi masih belum menebusnya, boleh ke kaunter penebusan dibuka di Pintu D dan E dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Penyokong setia Harimau Malaya sudahpun tiba di stadium seawal 10 pagi dan berkongsi keterujaan mereka di media sosial.

#WeBelangTogether: Harimau Malaya menang malam ini!

BARISAN kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka mampu menundukkan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ramai yang menjangkakan Thailand akan gagal mendapatkan gol di tempat lawan malam ini dengan kemenangan memihak kepada Harimau Malaya dengan keputusan 1-0.

Salah seorang daripadanya adalah wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, yang mengikuti rapat perkembangan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Cheng Hoe.

“Skuad yang hampir sama akan dipertaruhkan ketika menentang Myanmar tempoh hari bagi menentang Thailand,” kata Zulhelmi dalam rancangan bual bicara bola sepak terbitan Astro AWANIBual Bola semalam.

Pemain yang dijangka diturunkan adalah penjaga gol, Farizal Marlias, dengan barisan pertahanan dibarisi Aidil Zafuan Abdul Razak Shahrul Saad, Syawan Andik Mohd Ishak dan Syahmi Safari.

Bagi bahagian tengah, Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba dibantu dua pemain sayap, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh.

Jentera serangan sudah pasti diketuai Zaquan Adha Abdul Razak dan Nor Shahrul Idlan Talaha.

Nor Shahrul sudahpun menjaringkan empat gol untuk skuad negara dalam kempen Piala AFF kali ini manakala Zaquan menyumbang tiga gol.

Malaysia mempunyai rekod baik menentang skuad Gajah Putih di tempat sendiri dan ini menjadi keyakinan bahawa skuad Harimau akan membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik di Bangkok pada 5 Disember nanti.

Malaysia yang bolos tiga gol dalam empat perlawanan perlu memastikan gawang negara tidak dibolosi dan percaturan taktikal amat penting untuk mencapai keputusan positif malam ini.

Apakah ramalan anda mengenai keputusan perlawanan Malaysia menentang Thailand malam ini?

Kongsikan pandangan anda dengan #WeBelangTogether di media sosial.

Sumber : Astro Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*