Ultras Malaya Tawan Gerabak LRT Untuk Perlawanan Malaysia VS Myanmar. Memang Lain Macam Semangat Mereka

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya melunaskan dendam ke atas Myanmar apabila meraih kemenangan 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan A, Piala AFF sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Tiga mata yang cukup berharga diraih anak buah Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional Bukit Jali, malam tadi dapat memadam luka di Yangon dua tahun lalu apabila disingkirkan lawan yang sama di peringkat kumpulan.

Kemenangan ketiga itu meletakkan Malaysia yang juga juara 2010 di tangga kedua, dengan sembilan mata di belakang pendahulu Vietnam (10 mata) yang menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Menyedari hanya kemenangan bakal membuka laluan ke separuh akhir, skuad negara mula mengatur gerakan sejak awal dalam usaha untuk memecahkan benteng pertahanan Myanmar.

Selepas percubaan kapten, Zaquan Adha Abd Radzak diselamatkan oleh penjaga gol, Kyaw Zin Htet pada minit ke-23, gol pertama pasukan tuan rumah hadir tiga minit selepas itu.

Sepakan pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh terkena palang, namun penyerang, Norshahrul Idlan Talaha berada tepat pada masanya untuk menolak masuk bola lantunan itu ke dalam gawang untuk menggamatkan 80,000 penyokong Harimau Malaya.

Ia jaringan keempat Norshahrul atau dikenali sebagai Mat Yo selepas membantu Malaysia menewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1 sebelum ini.

Namun pintu gol negara cemas seketika apabila Myanmar kendalian jurulatih Jerman, Antoine Hey hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42, namun Farizal Marlias yang menggantikan Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan sepakan Aung Thu.

Skuad Harimau Malaya menutup babak pertama dengan kedudukan 2-0, selepas pertahanan pasukan pelawat Lwin Moe Aung menjatuhkan Safawi Rasid di dalam kotak penalti.

Zaquan yang menggalas tugas untuk menyempurnakan sepakan penalti lega apabila bola sepakannya terkena kiri sebelum bergolek ke dalam gawang.

Malaysia terus menguasai permainan pada babak kedua, namun hanya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-87, apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan Myanmar terkena kepala Zaquan sebelum masuk ke gawang.

Di peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung secara timbal balik bermula 1 Disember ini, lawan Malaysia bakal ditentukan sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang kini merebut slot ke separuh akhir dalam Kumpulan B.  HMETRO ONLINE

ULTRAS MALAYA TAWAN LRT .. Bingitnya Bukit Jalil…

Gegak-gempita! Itulah suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF antara Malaysia dan Myanmar, malam ini.

Apa tidaknya, lebih 70,000 penyokong hadir demi memberi sokongan kepada pemain Harimau Malaya yang berdepan tugas penting wajib menewaskan Myanmar untuk mara ke separuh akhir.

Apa yang pasti, suasana itu jelas menunjukkan semangat penyokong Harimau Malaya tidak pernah luntur biarpun prestasi turun naik dipamerkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Hari ini, Bukit Jalil dikuasai ‘Harimau Malaya’ apabila setiap ruang dipenuhi penyokong Malaysia dengan sorakan tidak pernah berhenti sejak sebelum permainan bermula terutama laungan daripada kumpulan Ultras Malaya.

Tidak cukup dengan itu, kain rentang ‘Menang Sampai Juara, Kitalah Raja’ turut kelihatan di kem Ultras Malaya dan ia sudah pasti menjadi salah satu pemangkin semangat buat pemain.

Di sebalik puluhan ribu penyokong Harimau Malaya, terselit juga kumpulan kecil penyokong Myanmar yang berjumlah kira-kira 3,000 orang.

Keadaan itu sekali gus menambahkan lagi kemeriahan perlawanan hidup mati kedua-dua pasukan dengan masing-masing cuba merebut tiket ke separuh akhir.

Malaysia yang ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dalam carta kumpulan wajib menang jika mahu mara ke peringkat seterusnya sementara lawan mereka hanya perlukan seri.

Selain misi wajib menang, anak buah Cheng Hoe juga membawa satu lagi misi untuk membalas dendam dua tahun lalu.

Pada Piala AFF 2016, Myanmar menunjukkan Malaysia jalan keluar selepas meraih kemenangan tipis 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Thuwunna, Yangon.

Semangat yang ditunjukkan oleh Ultras Malaya dan penyokong Malaysia memang amat menakjubkan. Saksikan video dibawah.

Video Kredit: Gol Malaysia

ULTRAS MALAYA MENUJU KE STADION BUKIT JALIL | MALAYSIA VS MYANMAR | AFF SUZUKI CUP 24/11/2018

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*