PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah agar orang bukan Islam tidak campur tangan dan menghormati urusan hal ehwal Islam.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri demikian menjawab respon Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Teruskan Membaca“Merujuk kepada kenyataan Sultan Selangor yang mengingatkan agar dihormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia, dan saya mendukung penuh kenyataan tersebut,” katanya.
Namun, memetik laporan Utusan Malaysia, Anwar berkata, orang bukan Islam boleh mendapatkan penjelasan lanjut melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada MKI untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” katanya.
Bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam, Koo Ham telah menyarankan kerajaan perlu melantik pakar bukan Islam.
Hal itu demikian dijelaskan oleh beliau, sebarang perubahan pada undang-undang, pandangan orang bukan Islam juga boleh diambil kira.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.