Malaysia Urus Persiapan ASEAN 2025 Dengan Cemerlang – PM

Malaysia berada di landasan yang tepat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan persiapan yang berjalan lancar hasil kecekapan penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar peranan sebagai Pengerusi ASEAN bukan sekadar soal prestij, namun ia cerminan kebolehan pentadbiran negara dalam mengendalikan pelbagai program peringkat antarabangsa dengan teratur dan berkesan.
“Ini memerlukan tugas yang lebih banyak daripada biasa. Tahap persiapan kita untuk acara-acara ASEAN adalah antara yang terbaik yang pernah saya lihat. “Walaupun mungkin tidak segah negara lain, namun tahap kecekapan, disiplin dan keteraturan kita amat membanggakan,” katanya dalam pertemuan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar turut menyatakan penghargaan kepada penjawat awam yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan kelancaran pentadbiran negara, terutamanya dalam persiapan acara rasmi yang melibatkan pemimpin antarabangsa.
“Saya memilih untuk menyebut perkara ini kerana beribu-ribu penjawat awam di pelbagai peringkat sedang bekerja keras dalam persiapan ini, tetapi sering kali usaha mereka tidak mendapat liputan media atau media sosial. “Apa yang sering dilaporkan hanyalah kesilapan atau kekurangan tertentu. Tidak salah untuk menegur kesilapan, tetapi tidak adil jika usaha cemerlang yang mencerminkan tahap kecekapan tinggi tidak diiktiraf,” katanya.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada beberapa kritikan pembangkang yang dilemparkan terhadap usaha kerajaan dalam memainkan peranan proaktif sebagai Pengerusi ASEAN 2025..
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi pengalamannya mencuba kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini.
“Semalam, saya berpeluang mencuba EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye. Ia diberikan kepada Perdana Menteri, tetapi bagi saya ia adalah untuk negara, bukan hak peribadi. Saya boleh menggunakannya selagi menjadi Perdana Menteri, tetapi selepas itu, ia mesti dikembalikan kepada negara,” jelasnya.
Sewaktu perjalanan ke Kompleks Sri Perdana pada jam 1.30 petang Ahad, Anwar berkata beliau melihat puluhan penjawat awam dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan sedang bertugas bagi persiapan lawatan rasmi Erdogan.

Lagi Topik Menarik

Apa Yang Viral?