Keputusan kerajaan untuk menolak garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis bukan Islam disifatkan sebagai langkah yang tepat bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, keputusan tersebut selaras dengan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Teruskan MembacaBeliau berkata, yang lebih penting adalah menanam kesedaran serta mengamalkan sikap saling menghormati dan memahami sensitiviti antara umat Islam dan bukan Islam, tanpa perlu wujudnya garis panduan yang mungkin disalah tafsir sebagai satu sekatan.
“Ia sememangnya satu perkara yang penting. Saya juga rasa hormat menghormati antara orang Islam dan bukan Islam, sememangnya tidak menjadi satu isu.
“Sekiranya mahu buat garis panduan, ini akan menimbulkan masalah. Mungkin pihak tertentu akan beranggapan itu sebagai satu sekatan terhadap mereka.
“Negara Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan selama 67 tahun, selama ini dapat mengekalkan keharmonian antara agama.
“Kalau membawa kepada isu garis panduan itu, sama sekali saya rasa ia sebagai sesuatu yang tidak perlu dibuat sebagaimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada KL Viral.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kabinet telah memutuskan untuk menolak garis panduan yang disediakan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Anwar berkata garis panduan itu tidak perlu memandangkan masyarakat Islam di negara ini tahu dimana batas mereka.
Baca juga: