Cadangan garis panduan berkenaan kehadiran umat Islam di majlis bukan Islam termasuk rumah ibadat tidak akan dijadikan dasar rasmi kerajaan.
Menurut kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang garis panduan itu hanya bersifat nasihat sebagai rujukan kepada umat Islam tanpa menjejaskan keharmonian antara agama.
Teruskan Membaca“Mengambil kira bahawa perkara ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
“Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini namun ia tidak bersifat dasar, kata kenyataan itu.
Keputusan itu diputuskan selepas Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat kabinet mengingatkan Jemaah Menteri bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Isu ini mula menjadi perhatian selepas terdapat pertanyaan daripada umat Islam mengenai hukum menghadiri jemputan di rumah ibadat bukan Islam, terutamanya majlis yang berpotensi mempunyai unsur keagamaan.