Remaja yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga maut membabitkan kemalangan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini 1 September lalu, akhirnya sedar selepas 10 hari ditidurkan.
Namun masih belum diberitahu ibu bapa dan empat adik beradiknya sudah tiada.
Teruskan MembacaNorhayati Noor Muhammad, 51, iaitu ibu saudara kepada Abdullah Amir Ruddin, 15, berkata, perkara itu masih dirahsiakan kerana keadaan anak saudaranya itu masih tidak stabil dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh doktor, kemungkinan besar apa yang terjadi ke atas Abdullah, dia tidak akan ingat.
“Ahli keluarga akan meminta nasihat pasukan perubatan sama ada untuk memberitahu kejadian yang meragut nyawa enam ahli keluarganya itu dalam masa terdekat atau sebaliknya.
“Buat masa ini, jika dia sudah baik dan pulih, kami fikir kena rujuk nasihat doktor sama ada kena beritahu hal sebenar seawal mungkin atau biar ingatannya pulih dahulu, kami tidak mahu ada kesan tidak baik ke atas kesihatan dia bila dia dapat tahu,” katanya.
Abdullah yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir di Muar merupakan satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan tersebut.