Pelakon dan penyanyi, Didi Astillah akhirnya tampil bersuara susulan video prank sempena sambutan hari jadi ibunya yang tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Menerusi perkongsian di Instagram, Didi menjelaskan bahawa konsep kejutan seperti itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana dia pernah melakukan perkara sama sebelum ini dan berkongsi di media sosial.
Teruskan MembacaMenurut Didi, mungkin ramai yang baru menyedari kandungan seperti itu kerana video terbaharu tersebut mendapat perhatian lebih meluas berbanding perkongsian terdahulu.
“Saya hormat dan faham setiap orang ada pandangan masing-masing. Tapi untuk yang tak tahu, ini bukan kali pertama saya buat content seperti ini.
“Pengikut yang dah lama mengikuti saya mungkin pernah nampak. Saya pernah kongsikan sebelum ini, cuma mungkin ketika itu ia tidak begitu mendapat perhatian,” katanya.
Dalam masa sama, adik kepada penyanyi Bella Astillah itu turut memohon maaf sekiranya video tersebut membuatkan mana-mana pihak berasa kurang selesa.
Jelasnya, kejutan berkenaan dilakukan di dalam sebuah bilik khas yang telah ditempah lebih awal dan bukannya di ruang terbuka yang boleh mengganggu pengunjung lain.
“Apa pun saya minta maaf kalau ada yang kurang senang dengan video itu.
“Untuk pengetahuan semua, kami memang dah tempah private room. Selain itu, video tersebut juga dimuat naik oleh salah seorang ahli pasukan tanpa pengetahuan kami terlebih dahulu dan mereka sendiri sudah meminta maaf,” jelasnya.
Didi turut berharap isu tersebut tidak terus diperbesarkan dan mengajak semua pihak untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Mengulas mengenai reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang turut berada dalam video berkenaan, Didi berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana beliau berada dalam keadaan baik dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan kejadian tersebut.
“Abang Saddiq okay sahaja. Kan abang? Tenang semua,” tulisnya berseloroh.
Terdahulu, video prank tersebut menjadi perhatian ramai apabila Didi berpura-pura bertengkar dengan seorang pelayan restoran sehingga membuatkan ahli keluarga termasuk Syed Saddiq kelihatan terkejut dan terpinga-pinga sebelum mengetahui ia hanyalah satu gurauan yang dirancang sempena hari jadi ibunya.
















