Rakyat Malaysia nampaknya bukan sekadar kuat bersembang di media sosial, malah sampai menarik perhatian syarikat teknologi gergasi, Meta.
Menerusi satu perkongsian pengguna media sosial dikenali sebagai Affandy, Malaysia didakwa menjadi antara negara paling aktif menggunakan Threads di peringkat global sehingga dipilih sebagai lokasi terawal untuk ujian ciri Meta AI dalam aplikasi tersebut.
Teruskan MembacaMenurut perkongsian itu, tahap interaksi tinggi rakyat Malaysia di Threads dipercayai menjadi antara faktor utama pemilihan bersama beberapa negara lain seperti Argentina, Mexico, Arab Saudi dan Singapura.
“Malaysia ni mungkin antara market Threads paling aktif dalam dunia.
“Sampai Meta AI buat ujian awal dekat sini,” tulisnya.
Menariknya, ada juga yang berseloroh mengatakan tabiat rakyat Malaysia yang suka berbual, berkongsi pandangan dan ‘membawang’ tentang pelbagai isu semasa di Threads mungkin menjadi sebab kenapa negara ini dipilih.
Lepas perkara itu tular, ruangan komen pula terus meriah dengan pelbagai jenis soalan daripada netizen, daripada isu semasa, soalan random sampailah komen lawak semata-mata nak uji sejauh mana kemampuan Meta AI.
Dalam masa sama, Meta AI turut membalas di ruangan komen dan mengakui Malaysia memang antara pasaran Threads yang paling aktif.
“Betul tu, Malaysia antara pasaran paling rancak untuk Threads.
“Sebab itu Malaysia jadi antara negara terawal menerima ujian Meta AI bersama Argentina, Mexico, Arab Saudi dan Singapura,” menurut respons tersebut.
Siap sempat bergurau lagi apabila Meta AI menyebut pengguna Malaysia memang terkenal dengan budaya ‘membawang’, yang secara tidak langsung menjadikan interaksi di platform itu menarik untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan mereka.
















