Kelantan kembali menjadi tumpuan apabila pihak polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah yang beroperasi dengan berselindung di sebalik perniagaan sah seperti kosmetik dan restoran.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya menjangkakan akan berlaku beberapa tangkapan baharu yang melibatkan pempengaruh media sosial serta pengasas produk kecantikan.
Teruskan MembacaBeliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa mengira status sosial atau populariti individu yang terlibat.
Pihak polis kini turut giat menjejaki dalang utama sindiket pengedaran dadah yang dipercayai beroperasi di negeri itu. Usaha intensif sedang dijalankan bagi mengesan semua individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah tersebut.
Amaran tegas ini dikeluarkan susulan peningkatan operasi membanteras sindiket dadah yang dipergiatkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Beberapa serbuan besar-besaran telah membuahkan hasil apabila polis berjaya menahan individu yang terlibat serta merampas pelbagai jenis dadah seperti daun ketum, syabu dan pil ekstasi.
Lebih membimbangkan, siasatan turut mendedahkan pelbagai taktik kreatif digunakan bagi menyeludup dadah, termasuk menyembunyikannya di dalam daging sejuk beku serta kandang haiwan ternakan untuk dibawa merentasi sempadan Malaysia–Thailand.
Difahamkan, beberapa suspek telah melarikan diri ke negeri lain kerana bimbang ditangkap. Sindiket ini dipercayai berpangkalan di kawasan yang berhampiran dengan sempadan Kelantan–Thailand.