PUCHONG: Seramai 101 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua serbuan berasingan pada 26 Ogos lalu, masing-masing di sebuah kilang kitar semula di Shah Alam dan pusat hiburan tiga tingkat di One Puchong Trade Centre.
Teruskan MembacaSerbuan pertama kira-kira jam 2.35 petang dilakukan selepas dua minggu risikan terhadap sebuah kilang kitar semula yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Daripada 53 orang yang diperiksa, 36 lelaki warga Bangladesh berusia 35 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa. Mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
Pada malam yang sama, sekitar jam 9.15 malam, pasukan imigresen menyerbu sebuah pusat hiburan di Puchong yang disyaki menawarkan khidmat wanita warga asing sebagai peneman pelanggan.
Sebanyak 187 individu diperiksa, membabitkan 63 warga asing dan 124 warga tempatan. Hasilnya, 65 orang ditahan termasuk lelaki Myanmar yang bekerja sebagai pelayan bar, serta wanita asing dari Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Filipina.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga premis serta seorang wanita tempatan yang bertindak menguruskan wanita asing berkenaan.
Siasatan awal mendapati premis itu menawarkan khidmat peneman pelanggan dengan caj antara RM150 hingga RM300 bagi tempoh tiga jam. Ketika serbuan dilakukan, ramai yang sedang rancak melayan pelanggan dalam suasana muzik dan lampu neon yang meriah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi PATI,” katanya sambil menambah operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen sentiasa dipatuhi.