PETALING JAYA: SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, menuntut supaya Datuk Seri Najib Tun Razak memulangkan semula RM42 juta yang didakwa disalahgunakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Teruskan MembacaMenurut peguam syarikat, Kwan Will Sen, duit tersebut sebenarnya diperuntukkan untuk masa depan tenaga negara dan manfaat pesara perkhidmatan awam, tetapi sebaliknya dimasukkan ke akaun peribadi Najib lebih 10 tahun lalu.
“Tiga mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan sudah putuskan Najib bersalah tanpa keraguan munasabah,” kata Kwan pada hari pertama perbicaraan saman sivil RM42 juta di Mahkamah Tinggi hari ini.
Beliau turut menegaskan, sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Najib mempunyai kuasa penuh terhadap SRC International dan semua transaksi besar berlaku dengan pengetahuan serta persetujuannya.
“Aliran wang ini jelas, dengan dokumen lengkap dan pengakuan bersumpah. Atas apa jua asas, sama ada penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur atau salah guna kuasa, keadilan menuntut duit awam ini dikembalikan kepada rakyat,” tambahnya.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM32 juta didakwa digunakan untuk membayar dua syarikat yang menampung kekurangan akaun Najib, manakala baki RM10 juta pula dibelanjakan melalui cek peribadi.
Perbicaraan hari ini turut menyaksikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, 57, tampil sebagai saksi pertama.
Kes ini didengar di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dan akan bersambung pada 6 November depan.