KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama lima agensi penguat kuasa melaksanakan Operasi Tindakan Bersepadu (Ops Tebah) Siri 4/2025, yang memberi tumpuan kepada premis hiburan tanpa lesen di sekitar Kepong dan Bukit Bintang.
Teruskan MembacaDalam operasi tersebut, dua pusat hiburan diarahkan tutup serta-merta, manakala seramai 32 individu ditahan selepas disahkan positif dadah hasil ujian saringan yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Selain DBKL dan AADK, operasi bersepadu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Sebanyak tiga premis hiburan diperiksa dan diserbu, dengan pelbagai peralatan muzik disita serta tiga notis kompaun dikeluarkan.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti hiburan haram yang beroperasi tanpa lesen sah dan melanggar syarat permit.
“DBKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penganjuran hiburan tanpa kebenaran. Pemantauan dan tindakan tegas akan diteruskan dari semasa ke semasa,” tegas pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan di Facebook.
Dalam masa sama, JAWI turut mengeluarkan 30 surat perintah hadir kepada 21 lelaki dan sembilan wanita bagi membantu siasatan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
DBKL menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan secara berkala, khususnya di kawasan tumpuan hiburan yang telah dikenal pasti. Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat dan aduan melalui pautan rasmi: https://adukl.dbkl.gov.my.
Sejak dilaksanakan, Ops Tebah KL Strike Force telah menjadi mekanisme penting bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar selamat, berdayahuni serta bebas daripada kegiatan tidak berintegriti.
















