KUALA LUMPUR:Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia terbabit dalam rusuhan yang melanda beberapa bandar utama di Indonesia sejak 25 Ogos lalu.
Teruskan MembacaMenterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lebih 1,200 pelajar Malaysia kini berada di negara itu termasuk di Jakarta, Sumatera dan Pulau Jawa, dan setakat ini semuanya dilaporkan selamat.
“Alhamdulillah, tiada laporan membabitkan pelajar Malaysia. Tapi kita terus pantau sebab kesannya bukan hanya di Jakarta, malah di kawasan lain juga,” katanya.
Menurut beliau, pemantauan dilakukan bersama Wisma Putra dan Education Malaysia Indonesia (EMI), yang sentiasa berhubung dengan pelajar untuk menyalurkan maklumat serta menasihati mereka supaya menjauhi kawasan terjejas.
Dalam masa sama, Zambry yakin pihak berkuasa Indonesia mampu mengawal keadaan dan memulihkan keamanan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan lebih 1,200 individu ditahan, manakala kerugian akibat kerosakan awam dianggarkan mencecah Rp55 bilion (RM15.2 juta).
















