KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Julai lalu dalam satu operasi di Pasir Mas pada 25 Ogos lepas.
Teruskan MembacaHasil serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan. Lebih mengejutkan, polis menemui 204.24 kilogram (kg) syabu yang dibungkus dalam plastik teh Cina berjenama Jin Xuan Tea dan Number One.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6.53 juta dan jumlah itu mampu menjejaskan lebih 1.02 juta individu sekiranya terlepas ke pasaran.
Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, sindiket terbabit dipercayai menggunakan pangkalan haram di Rantau Panjang untuk membawa masuk bekalan dari luar negara sebelum disembunyikan di kawasan semak dan diedarkan ke Lembah Klang.
“Suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine serta mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Selain dadah, polis turut menyita beberapa aset suspek termasuk sebuah Proton Persona, van Ford Econovan serta wang dalam akaun bank dengan jumlah sitaan bernilai RM15,708.75.
Jika digabungkan, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM6.55 juta. Kes kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Suspek direman selama 14 hari bermula 26 Ogos hingga 8 September bagi membantu siasatan.
Datuk Hussein turut menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah.