PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil menyatakan sokongan terhadap persetujuan gencatan senjata antara Hamas dan Israel, yang disifatkan sebagai langkah awal penting ke arah keamanan sebenar di Gaza.
Teruskan MembacaMenerusi satu hantaran di Facebook, Anwar menyebut perkembangan itu membawa sinar harapan buat rakyat Gaza yang sudah terlalu lama hidup dalam derita, kehilangan dan kemusnahan akibat perang yang tak berkesudahan.
“Saya sambut baik laporan mengenai kemajuan rundingan ke arah gencatan senjata di Gaza. Perkembangan ini memberi sinar harapan setelah berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung,” tulisnya.
Anwar dalam masa sama mengingatkan semua pihak agar benar-benar ikhlas dalam memastikan gencatan senjata ini bukan sekadar di atas kertas, tetapi betul-betul dilaksanakan untuk menghentikan keganasan dan melindungi nyawa orang awam.
Beliau juga menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan keadilan, maruah dan kemerdekaan sebenar.
“Saya harap semua pihak ambil peluang ini untuk melangkah ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya lagi.
Difahamkan, perjanjian gencatan senjata ini dicapai selepas rundingan intensif di Sharm el-Sheikh, Mesir, yang melibatkan wakil Hamas dan beberapa kumpulan perjuangan Palestin lain.
Pelan damai tersebut dikatakan berasaskan cadangan yang dibentangkan oleh Presiden AS, Donald Trump, dengan jaminan antarabangsa bagi memastikan Israel benar-benar patuh kepada semua syarat yang dipersetujui.
Hamas juga sudah mengesahkan persetujuan terhadap pelan itu, namun menegaskan mereka mahu jaminan jelas supaya Israel tidak mungkir janji.
Ramai melihat langkah ini sebagai satu perkembangan besar dan mungkin, permulaan baharu buat rakyat Gaza untuk kembali hidup dalam keamanan selepas sekian lama bergelumang dengan peperangan.