Filem animasi kebanggaan Malaysia, Ejen Ali: The Movie 2, sekali lagi mencuri perhatian, kali ini di pentas antarabangsa apabila karya hebat itu dibawa ke Jepun untuk dipersembahkan dalam Seminar “Soaring Dreams in ASEAN Animations”.
Teruskan MembacaAcara berprestij yang berlangsung sempena TIFFCOM 2025 itu menghimpunkan pemain industri animasi dari seluruh rantau ASEAN, termasuk wakil dari Jepun. Menariknya, filem Ejen Ali: The Movie 2 menjadi antara karya utama yang diketengahkan dalam sesi tersebut, satu pengiktirafan besar buat industri animasi tempatan.
Menurut laporan, sesi seminar itu memberi tumpuan kepada bagaimana industri animasi ASEAN kini semakin berkembang pesat dan mampu bersaing di peringkat global. Kehadiran Ejen Ali sebagai antara contoh terbaik animasi berkualiti tinggi dari rantau ini membuktikan bahawa Malaysia kini bukan lagi sekadar penonton, tetapi turut menjadi pencipta kandungan bertaraf dunia.
Lebih membanggakan, kehadiran delegasi dari Primeworks Studios dan WAU Animation di Jepun turut membuka peluang besar untuk menjalin kerjasama strategik dengan studio antarabangsa, terutamanya dari Jepun, negara yang terkenal dengan industri anime dan animasi berimpak besar di dunia.
Wakil WAU Animation menyifatkan peluang membentangkan Ejen Ali di seminar itu sebagai langkah penting untuk memperkenalkan jenama animasi Malaysia ke pasaran global. Katanya, ia bukan sekadar tentang filem, tapi tentang memperkukuh hubungan, berkongsi teknologi, dan menonjolkan bakat tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Kejayaan Ejen Ali ini sekali lagi membuktikan bahawa animasi tempatan mempunyai potensi besar untuk berdiri sama tinggi dengan produksi antarabangsa. Malah, kejayaan ini diharap dapat membuka jalan untuk lebih banyak karya animasi Malaysia menembusi pasaran luar negara selepas ini.
Buat peminat Ejen Ali, ini bukan sekadar berita gembira tapi satu kebanggaan bersama. Dari Cyberaya ke Jepun, Ejen Ali kini benar-benar ‘terbang’ jauh membawa nama Malaysia ke dunia!
















