KUALA LUMPUR: Siapa sangka, dah 25 tahun kumpulan nasyid popular Inteam masih kekal relevan dan terus jadi pilihan ramai. Dalam dunia hiburan yang sentiasa berubah, mereka tetap berdiri teguh dengan karya berjiwa spiritual yang menyentuh hati.
Teruskan MembacaSempena ulang tahun ke-25, Inteam bakal buat kejutan dengan konsert mega bertajuk “25 Tahun Inteam Nur Kasih” yang akan berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert ini dianjurkan oleh ICON Entertainment, syarikat produksi milik Iman Tang, dan katanya ini bukan sekadar konsert biasa tapi satu bentuk penghargaan buat perjuangan Inteam dalam menyebarkan mesej positif sejak mereka ditubuhkan pada tahun 2000.
“Kami meraikan semua karyawan seni, termasuk genre nasyid dan kerohanian. Inteam ni istimewa sebab walaupun dah dua dekad lebih, mereka tetap relevan dan dekat di hati peminat,” kata Iman semasa sidang media di JW Marriott Hotel, Bukit Bintang.
Iman juga memuji keempat-empat anggota Inteam, Hazamin Harun, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad yang kekal konsisten dengan lagu-lagu penuh makna seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta dan Kasih Kekasih.
“Lagu-lagu mereka memang sederhana, tapi menyentuh jiwa. Siapa yang datang konsert ni nanti, confirm tak menyesal,” katanya lagi.
Sementara itu, Hazamin mewakili kumpulan Inteam meluahkan rasa syukur atas sokongan peminat yang tak pernah putus selama ini.
“Alhamdulillah, sambutan masih luar biasa. Konsert terakhir pun sampai kena tukar lokasi sebab terlalu ramai yang datang. Itu bukti kasih sayang peminat terhadap karya nasyid masih kuat,” ujarnya.
Menariknya, selain dapat menikmati persembahan istimewa Inteam, enam pembeli tiket bertuah juga akan berpeluang menang pakej umrah bernilai RM8,999 tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd. Bukan itu saja, dua unit skuter Modenas Elit 150s dan telefon pintar baharu pun menanti peminat bertuah!
“Kami nak konsert ni bukan sekadar hiburan, tapi juga sebagai cara untuk menghargai peminat yang setia bersama Inteam selama lebih dua dekad,” tambah Iman.
Tiket konsert kini dah mula dijual di www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih dengan harga bermula RM168 hingga RM488, bergantung pada kategori tempat duduk.
Jadi kalau korang peminat tegar Inteam atau nak rasai suasana konsert nasyid penuh feel dan nostalgia, jangan lepaskan peluang ini!