PUTRAJAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia kini memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi mengekang ancaman pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di ruang digital.
Teruskan MembacaUsaha ini dimantapkan melalui kunjungan hormat Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan ke atas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Isnin, langkah penting bagi memperkemas sinergi antara JSJN, PDRM dan kementerian tersebut dalam memperkukuh keselamatan digital negara.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menekankan keperluan mendesak untuk memastikan dunia siber kekal selamat dan tidak disalahguna oleh sindiket dadah yang kini semakin licik menggunakan teknologi moden sebagai medium baharu mereka.
Menurut kenyataan JSJN, Fahmi amat dihargai atas komitmen dan sokongan padu beliau dalam memastikan keselamatan komunikasi negara terus terjamin daripada ancaman jenayah siber berkaitan dadah.
“Kerjasama rapat ini sangat penting bagi melindungi rakyat, terutama golongan muda, daripada bahaya dadah yang kini beralih ke platform digital. Ruang siber mesti kekal selamat dan tidak dieksploitasi,” kata kenyataan itu.
JSJN turut menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang memperkukuh strategi risikan siber menggunakan teknologi canggih, selain memperluas kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia, Bank Negara Malaysia serta Interpol bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah dalam talian.
Langkah ini juga seiring dengan semangat kempen “JSJN: Perangi Dadah, Lindungi Generasi”, yang menekankan penguatkuasaan digital bersepadu demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Mohd Zani Che Din, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, Mohd Zaki Ashar serta beberapa pegawai kanan JSJN Bukit Aman, menggambarkan komitmen bersama antara agensi dalam menangani ancaman dadah digital secara menyeluruh dan bersepadu.
















