Dua nama besar dalam dunia rock tanah air, Black (dram) dan Eddie (bass) akhirnya umum keluar dari kumpulan lagenda Wings, sekali gus mengejutkan ramai peminat tegar band itu.
Teruskan MembacaBerita itu disahkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu dan ya, ramai peminat terus tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di sebalik keputusan besar ini.
Dengan pengunduran dua anggota asal itu, Black dan Eddie juga tidak akan bersama dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 28 November dan Singapura pada 24 Disember nanti.
Bagi yang mengikuti perjalanan mereka, Black, 59, bukan asing dengan peristiwa keluar-masuk Wings. Beliau pernah meninggalkan kumpulan itu pada awal 1990-an sebelum kembali semula pada 1995 ketika rakaman album Orang Asing.
Eddie, 57, pula antara anggota paling setia dalam Wings sejak menyertai kumpulan itu pada tahun 1985,menjadikan keputusan kali ini sesuatu yang agak “berat” dan penuh emosi buat peminat yang membesar dengan muzik mereka.
Kini, selepas pengunduran dua tonggak utama itu, Wings hanya dibarisi oleh Datuk Awie (vokal), Syam (gitar utama)dan Edrie (gitar irama).
Walaupun ramai sedih dengan berita ini, peminat tetap berharap hubungan mereka kekal baik dan mungkin, siapa tahu, satu hari nanti Black & Eddie akan kembali semula ke pangkuan Wings.
Rock kapak takkan mati, tapi kali ni memang terasa kehilangan!