Wartawan dan aktivis kemanusiaan terkenal dari Britain, Yvonne Ridley, dilaporkan hilang selepas ditahan pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Teruskan MembacaRidley, 67 tahun, sepatutnya dipindahkan ke Istanbul, Turkiye tapi sampai hari ini, tiada siapa tahu di mana dia berada. Beliau kali terakhir dilihat di Penjara Ketziot, tempat ramai aktivis flotilla lain turut ditahan selepas konvoi mereka dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Menurut laporan antarabangsa, Ridley tidak diberikan ubat-ubatan penting sepanjang dalam tahanan. Keluarganya pula mendakwa beliau dilayan dengan kasar dan diugut secara mental. Lebih membimbangkan, ubat asalnya dikatakan dirampas dan diganti dengan ubat lain yang diragui, membuatkan beliau menolak untuk mengambilnya.
Sebelum hilang, Ridley sempat berhubung dengan wakil konsulat British pada hari Jumaat. Keadaannya ketika itu dikatakan lemah dan tempat tahanannya digambarkan sebagai “amat membimbangkan”.
Bagi yang mungkin tak kenal, Yvonne Ridley bukan orang biasa. Beliau pernah mencuri tumpuan dunia apabila ditahan Taliban pada tahun 2001, selepas tragedi 9/11. Dari situlah kehidupannya berubah selepas dibebaskan, beliau memeluk Islam dan mula aktif memperjuangkan isu kemanusiaan, termasuk membela nasib rakyat Palestin.
Misi Global Sumud Flotilla yang disertai Ridley kali ini membawa lebih 500 aktivis dari pelbagai negara. Mereka berlayar ke Gaza untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan, namun tidak sempat sampai apabila konvoi mereka disekat oleh tentera Israel.
Kehilangan Ridley kini mengundang reaksi antarabangsa. Ramai pihak termasuk aktivis hak asasi manusia dan organisasi kemanusiaan mendesak Israel memberi penjelasan segera tentang di mana beliau berada dan memastikan keselamatannya.
Kerajaan United Kingdom juga ditekan supaya bertindak tegas dan menggunakan saluran diplomatik bagi mencari serta melindungi warganya itu.
Ridley, yang pernah melalui pengalaman getir semasa ditahan Taliban lebih dua dekad lalu, kini sekali lagi menjadi simbol keberanian dan suara keadilan namun kali ini, dunia sedang menunggu dengan penuh debar, adakah beliau selamat di bawah tahanan Israel?