Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi bertenaga di Sukan SEA ke-33 apabila hari kesembilan kejohanan menjadi milik atlet negara dengan kutipan 11 pingat emas, Rabu lalu.
Teruskan MembacaSecara keseluruhan, Malaysia menambah 40 pingat dalam sehari, 11 emas, 14 perak dan 15 gangsa sekali gus mengekalkan rentak cemerlang di Bangkok.
Detik manis bermula di IMPACT Arena, Nonthaburi apabila Ummi Mashita Hassan membuka tirai emas negara menerusi acara Pencak Silat Wanita Kelas C (55-60kg) selepas mempamerkan persembahan kemas dan meyakinkan.
Sorakan penyokong terus bergema di TerdThai Cricket Grounds apabila skuad Kriket Lelaki Malaysia melengkapkan misi ‘double emas’. Selepas menjuarai T20i, pasukan negara sekali lagi tampil garang dengan menewaskan Indonesia tujuh wiket untuk muncul juara acara T10i.
Sukan Muay pula mencuri tumpuan apabila atlet debutan, Yan Jia Chi, mencipta kejutan manis dengan merangkul emas acara Muay Wanita Waikru Individu di Stadium Tinju Lumpinee, menewaskan pencabar dari Indonesia, Filipina dan Thailand.
Dari gelanggang skuasy, pasangan muda Harith Danial Jefri dan Sehveetrraa Kumar menghadiahkan emas keempat menerusi acara Beregu Jumbo Campuran Bawah 21 selepas menundukkan Filipina 2-0 di perlawanan akhir.
Momentum emas kembali ke IMPACT Arena apabila Muhammad Izzul Irfan Marzuki muncul juara acara Pencak Silat Lelaki Kelas D (60-65kg) untuk emas kelima negara.
Aksi luar biasa turut disaksikan di Lapangan Menembak, Bangkok apabila Gan Chen Jie bukan sahaja meraih emas, malah memecahkan Rekod Sukan SEA dengan catatan 451.7 mata dalam acara 50m Air Rifle 3 Position Wanita, pencapaian terbaik dalam kariernya setakat ini.
Muay Thai terus menjadi lombong emas buat Malaysia apabila Wassof Rumijam menewaskan jaguh tuan rumah, Huanak Thongchai, dalam acara Bantamweight 54kg Lelaki untuk emas ketujuh.
Drama hebat pula tercetus di Stadium Chantana Yingyong, Universiti Chulalongkorn apabila pasukan Bola Jaring Malaysia menundukkan Singapura 52-49 dalam perlawanan penuh debaran bagi merangkul emas kelapan.
Tidak cukup dengan itu, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar sekali lagi menggegarkan penyokong tempatan apabila menewaskan atlet Thailand, Sirilun Suphakon, untuk membawa pulang emas kesembilan dalam acara Featherweight 57kg Lelaki.
Skuasy terus menyerlah apabila Harith Danial Jefri meraih emas keduanya hari itu, kali ini bersama Low Wa Sern dalam acara Beregu Jumbo Lelaki Bawah 21 selepas menewaskan Filipina 2-1 di final.
Emas ke-11 dan terakhir hadir dari arena E-Sukan apabila pasukan E-Sukan Wanita Malaysia menewaskan Filipina 4-3 dalam final sengit Mobile Legends: Bang Bang di Universiti Chulalongkorn.
Selain emas, Malaysia turut meraih 14 pingat perak dan 15 gangsa dalam pelbagai acara termasuk memanah, menembak, muay, pencak silat, e-sukan dan sukan air.
Setakat tamat saingan hari kesembilan, Malaysia sudah mengumpul keseluruhan 190 pingat, 41 emas, 45 perak dan 104 gangsa, dan masih berpeluang menambah koleksi menjelang penutup temasya.
















