Hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah nampaknya tidak kesampaian. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakimanyang difailkan bekas Perdana Menteri itu berkaitan isu Titah Adendum.
Teruskan MembacaKeputusan tersebut bermakna Najib kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula dipenjarakan pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Ketika itu, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Bagaimanapun, pada awal 2024, hukuman tersebut dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta, satu keputusan yang turut mencuri perhatian ramai.
Dalam permohonan terbaharu ini, Najib mendakwa wujud Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. Susulan itu, beliau memfailkan tindakan undang-undang bagi memaksa kerajaan dan beberapa pihak lain mengesahkan serta melaksanakan titah berkenaan.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alice Loke Yee Ching menolak permohonan tersebut, sekali gus menutup laluan Najib untuk keluar dari Penjara Kajang melalui mekanisme itu.
Kes SRC ini merupakan antara kes utama yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, yang sering disebut sebagai salah satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara.
Buat masa ini, segala spekulasi mengenai Najib menjalani hukuman di rumah berakhir di sini, dengan keputusan mahkamah jelas menyatakan beliau kekal di penjara.
















