Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, sekali lagi membanggakan kem badminton Malaysia apabila berjaya menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Malaysia hasil kemenangan bergaya malam tadi.
Teruskan MembacaGandingan ranking kedua dunia itu, yang juga wakil terakhir negara di peringkat suku akhir, tidak berdepan masalah besar menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, dengan keputusan straight set 21-19, 21-10 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Aksi set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling berbalas mata. Namun sorakan padu penyokong tuan rumah jelas memberi kelebihan kepada Aaron-Wooi Yik untuk kekal fokus sebelum menutup set pembukaan 21-19.
Masuk set kedua, rentak permainan jelas memihak kepada pasangan negara apabila mereka tampil lebih agresif dan pantas. Aaron-Wooi Yik mendahului jauh 11-2 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 21-10.
Kemenangan itu cukup bermakna apabila ia menamatkan rekod kurang baik mereka ke atas Sabar-Moh Reza, yang sebelum ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas beregu negara termasuk di pentas Sukan SEA Thailand dan Terbuka Hylo tahun lalu.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik muncul satu-satunya wakil Malaysia yang masih bertahan ke separuh akhir selepas beberapa lagi wakil negara tersingkir lebih awal.
Di separuh akhir nanti, cabaran lebih besar menanti apabila mereka dijadualkan bertemu satu lagi beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, dalam misi memburu tiket ke perlawanan akhir.
Walaupun rekod pertemuan memihak kepada pasangan Indonesia itu, Aaron-Wooi Yik boleh turun dengan keyakinan tinggi selepas memenangi pertemuan terakhir pada Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan lalu.
















