Kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang bertukar wajah malam tadi apabila ribuan pengunjung membanjiri lokasi itu bagi menyambut ketibaan Tahun Baharu 2026 dalam suasana penuh warna, cahaya dan keriangan.
Teruskan MembacaLebih istimewa, sambutan kali ini turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersama rakyat dan pelancong memeriahkan Visit Malaysia 2026 (VM2026) Countdown Festival di perkarangan Pintu Utama Pavilion Bukit Bintang.
Turut kelihatan dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Detik paling dinanti sudah pasti apabila langit Kuala Lumpur diterangi pertunjukan bunga api dan formasi dron yang memaparkan ucapan “Selamat Datang 2026”, “Welcome 2026” serta maskot VM2026, Wira dan Manja, sekali gus mencuri perhatian ribuan mata yang hadir.
Program yang bermula seawal jam 7.30 malam itu turut dihidupkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, muzik dan pertunjukan cahaya, menggambarkan keunikan serta kepelbagaian budaya Malaysia. Menariknya, sambutan ini bukan sahaja disaksikan secara langsung di lokasi, malah turut distrim menerusi platform digital dengan anggaran 14 juta tontonan.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata penganjuran VM2026 Countdown Festival menjadi ‘pembuka tirai’ kepada kempen Visit Malaysia 2026 yang menyasarkan kehadiran 43 juta pelancong antarabangsa.
Menurut beliau, festival ini menggabungkan elemen hiburan moden dan tradisional dengan penampilan artis tempatan serta antarabangsa seperti Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans, KLP48, Nazu, Rezza Shah, Danson Ooi, Euzen dan Penny.
Acara tersebut turut digamatkan dengan pelbagai elemen multimedia termasuk pyromusical fireworks, unjuran laser, paparan 3D anamorfik serta formasi dron berskala besar.
Selain hiburan pentas, pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik sepanjang kempen VM2026 yang bermula sejak 26 Disember lalu, antaranya bazar, pameran seni dan budaya interaktif, persembahan busking serta flash mob di sekitar Bukit Bintang.
Tidak ketinggalan, VM2026 Bukit Bintang Food Bazaar menjadi antara tarikan utama dengan pelbagai sajian tradisional dan moden yang menggamit selera pengunjung.
Secara keseluruhan, festival ini bukan sahaja menyambut ketibaan tahun baharu, malah menjadi isyarat awal kesediaan Malaysia untuk tampil lebih yakin dan bersedia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia pada tahun 2026.
















