Pemergian pelakon Nadia Kesuma terus menyentuh hati ramai apabila dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Jeddah, Arab Saudi, seperti yang disahkan oleh rakan terdekat keluarga.
Teruskan MembacaMenurut sumber, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pihak berkaitan, selain mengambil kira hasrat arwah yang dikatakan memang menyimpan keinginan untuk berada dan disemadikan di tanah suci.
Difahamkan, suami Nadia bersama anak perempuan mereka telah berlepas ke Jeddah bagi menguruskan urusan pengebumian. Ketika ini, jenazah arwah berada di sebuah hospital di Jeddah sementara menunggu proses seterusnya.
Rakan rapat keluarga memaklumkan arwah menghembuskan nafas terakhir secara mengejut akibat sakit jantung sejurus tiba di Jeddah, ketika mengikuti rombongan umrah dan ziarah. Berita sedih itu nyata mengejutkan ramai, termasuk rakan artis dan peminat yang membesar bersama lakonan Nadia suatu ketika dahulu.
Di media sosial, ucapan takziah dan doa tidak putus-putus dititipkan buat arwah dan keluarga. Ramai yang menyifatkan pemergian Nadia sebagai satu kehilangan besar, namun bersyukur kerana arwah dipanggil Ilahi di tempat yang mulia.
Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa arwah Nadia Kesuma, menerima segala amal baiknya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.
















