Kuala Lumpur bakal tampil dengan wajah baharu pada waktu malam apabila Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan projek inovasi pencahayaan bandar dikenali sebagai ‘I LITE U’, malam Sabtu.
Teruskan MembacaMajlis peluncuran yang berlangsung di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon bertaraf antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh.
Projek ‘I LITE U’ ini menjadi antara pembuka tirai utama kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang menyasarkan kehadiran 28 juta pelancong serta pulangan hasil pelancongan mencecah RM76 bilion.
Lebih daripada sekadar cantikkan bandar, inisiatif ini turut memberi fokus kepada keselamatan dan keselesaan orang ramai. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencahayaan moden yang diperkenalkan bukan sahaja mencantikkan suasana malam Kuala Lumpur, malah membantu meningkatkan keselamatan pejalan kaki dan merancakkan ekonomi setempat.
Tan Sri Michelle Yeoh pula menyifatkan penglibatannya dalam program itu sebagai satu pengalaman bermakna, lebih-lebih lagi ketika Malaysia bersiap sedia menyambut kehadiran pelawat dari seluruh dunia sempena VM2026.
Bukit Bintang dipilih sebagai lokasi perintis memandangkan kawasan itu merupakan nadi pelancongan dan komersial utama ibu negara.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan perarakan dan persembahan kebudayaan melibatkan hampir 20 kontinjen daripada pelbagai kementerian, agensi dan institusi pendidikan, menjadikan suasana sekitar Pavilion Kuala Lumpur cukup meriah.
Antara komponen utama projek perintis ini termasuk pemasangan pencahayaan pintu gerbang, pembinaan arca mercu tanda VM2026, naik taraf lintasan pejalan kaki dengan pencahayaan lebih terang dan selamat, serta pembinaan lintasan pejalan kaki baharu bagi meningkatkan kebolehlaluan pada waktu malam.
‘I LITE U’ dilaksanakan menerusi kerjasama KPKT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan sokongan rakan strategik seperti Pavilion Kuala Lumpur, BBKLCC, PR1MA Malaysia, YTL Land dan Grab Malaysia.
KPKT turut menegaskan bahawa VM2026 bukan hanya tentang mencantikkan bandar, sebaliknya merangkumi usaha menjaga kebersihan, tanggungjawab awam serta meningkatkan pengalaman keseluruhan pelawat.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang bermula 1 Januari 2026 turut diperkenalkan bagi membantu menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan yang lebih bersih, selamat dan mesra pelawat.
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa pemimpin utama negara termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
















