PETALING JAYA: Musim balik kampung kali ini nampaknya lebih ‘canggih’ apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tampil dengan penggunaan dron dan pelbagai teknologi moden untuk pantau keadaan trafik sepanjang Aidilfitri.
Inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan (MoT) ini melibatkan penggunaan beberapa peralatan digital seperti kamera tindakan penguatkuasaan (EAC), kamera badan (BWC), peranti pintar SmED serta kamera papan pemuka sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang berlangsung selama dua minggu sehingga 29 Mac.
Teruskan MembacaMenurut Setiausaha Bahagian Darat MoT, Datuk Mohamed Irwan Mansor, penggunaan teknologi ini turut dipertingkatkan terutama ketika tempoh larangan kenderaan berat di jalan raya iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac.
Apa yang menarik, langkah ini bukan saja untuk pantau trafik, tapi juga ada sasaran besar, nak kurangkan kadar kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 10 peratus berbanding tahun lepas.
Difahamkan, antara punca utama risiko kemalangan meningkat waktu raya adalah disebabkan pertembungan antara kenderaan ringan dan kenderaan berat yang mempunyai jarak membrek lebih panjang serta ‘blind spot’ lebih besar.
Sebab itu juga larangan kenderaan berat dilaksanakan pada waktu tertentu, memandangkan jumlah kereta persendirian memang meningkat mendadak bila ramai mula pulang ke kampung.
Dalam masa sama, JPJ juga tidak akan buat sekatan jalan raya sepanjang tempoh tersebut bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk di laluan utama.
Bagi memastikan ketelusan, semua saman yang dikeluarkan secara manual pula akan dimasukkan ke dalam sistem mySIKAP dalam tempoh 24 jam.
Nampaknya raya tahun ini bukan saja meriah, tapi juga lebih ‘smart’ dengan bantuan teknologi!















